Mayat pekerja kapal jatuh laut ditemui
ISKANDAR PUTERI - Mayat pekerja kapal warga asing yang terjatuh ke dalam laut di Blok 15 Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dekat sini pada Selasa, ditemui terapung pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, mayat lelaki warganegara Bangladesh, Miah Md Ujjal, 35, ditemukan oleh kakitangan PTP pada jam 6.32 petang.
Menurutnya, sebelum itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dua anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan radius pencarian 25 meter ke kiri dan kanan kapal.
"Pada jam 3.15 petang semalam operasi SAR dihentikan sementara disebabkan keadaan arus laut melebihi 2 knot dan berbahaya kepada pasukan PPDA. Operasi disambung semula jam 4.18 petang setelah keadaan kembali normal.
"Tiga anggota PPDA sambung membuat selaman. Pada jam 6.32 petang mangsa berjaya dijumpai timbul di permukaan air pada jarak 6 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Beliau berkata, anggota bomba membantu membawa mangsa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi yang disertai 24 anggota bomba termasuk anggota PPDA dari BBP Skudai ditamatkan pada jam 8.10 malam tadi," katanya.
Dalam kejadian jam 11.22 pagi Selasa, mangsa yang merupakan pekerja kapal telah terjatuh ke dalam laut pada ketinggian kira-kira 6 meter ketika membuat kerja-kerja mengikat kontena atas kapal Als Clivia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!