MDHS sita barang penjaja bahu jalan

Gambar operasi penyitaan barang penjaja itu tular di media sosial.
Gambar operasi penyitaan barang penjaja itu tular di media sosial.
A
A
A

BUKIT SENTOSA - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita barangan penjaja makanan di bahu Jalan Persiaran Tasik Teratai dekat sini pagi semalam.

Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada masyarakat setempat selepas tular di media sosial.

Sehubungan itu, Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria tampil memberi penjelasan berhubung tindakan penguatkuasaan tersebut.

Katanya, MDHS memberikan tapak niaga kepada penjaja terbabit untuk menjalankan aktiviti perniagaan di tapak pasar malam perumahan Telipot.

Bagaimanapun menurutnya, penjaja tersebut berniaga di kawasan yang tidak dikhaskan sebagai tapak bazar Ramadan dan menjaja tanpa lesen di bahu jalan berkenaan.

"Keingkaran penjaja untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan menyebabkan tindakan ini dilakukan.

"Notis berkaitan turut ditampal pada peralatan penjaja terbabit pada 13 Mei (sebelah pagi) di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Pada sebelah petang hari yang sama, anggota penguat kuasa dan jabatan lesen hadir memberi amaran lisan kepada penjaja agar tidak menjaja dan meninggalkan barang mereka di kawasan tersebut selepas tamat berniaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Awaluddin berkata, penjaja tidak mengendahkan amaran tersebut dan menyebabkan tindakan menyita dilakukan kerana meletakkan barangan di tempat awam.

Menurutnya, barang yang disita dibawa ke pusat simpanan dan penjaja boleh menuntut dengan membuat permohonan secara bertulis kepada MDHS dalam tempoh 30 hari dari tarikh sitaan.

"Penjaja perlu menjelaskan kos ditetapkan dan pihak MDHS akan melupus barang berkenaan sekiranya tiada tuntutan.

"Penjaja juga diarahkan untuk datang ke pejabat MDHS untuk memohon lesen dan berniaga di tapak yang dibenarkan.

"Bersempena bulan yang baik ini, penjaja diingatkan agar mematuhi undang-undang dan berniaga di kawasan yang dibenarkan oleh majlis," katanya.

Awalauddin berkata, tindakan sedemikian dilakukan demi keselesaan penduduk dan kebersihan kawasan persekitaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!