Hukum penjara, sebat pengkhianat subsidi kerajaan - Dr Akmal

Dr Muhamad Akmal (kiri) ketika Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal pada Khamis.
Dr Muhamad Akmal (kiri) ketika Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal pada Khamis.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan dicadang mengkaji semula hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pihak yang memanipulasi serta melakukan penyelewengan terhadap subsidi kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hukuman itu bagi memberi pengajaran terutama kartel-kartel agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi rakyat sedang tertekan dengan ketiadaan bekalan beras tempatan.

Menurutnya, setakat ini hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dan pelaku yang memanipulasi bekalan beras hanyalah berbentuk kompaun dan denda, yang mana mereka mampu untuk melunaskan bayaran tersebut meskipun mencecah RM100,000.

"Hukuman hari ini kalau kita tengok paling tinggi hanya sekadar kompaun, jadi kompaun saya nak bagi tahu kartel dia boleh bayar.

"Kalau kita bagi hukuman contoh kita penjara dan hukuman sebat kepada siapa khianati subsidi negara termasuk mereka yang menipu dan menekan rakyat tentu mereka tidak berani melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di perairan Sungai Melaka, Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Low Chee Leong.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, setakat ini Melaka telah mendapat beras tempatan tambahan sebanyak 300 tan metrik dan baki sebanyak 200 tan akan diterima selewat-lewatnya pada minggu hadapan untuk diagihkan ke semua pasar raya dan kedai runcit di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penambahan sebanyak 500 tan metrik beras yang diumumkan pada minggu lalu, bagi memastikan rakyat tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan tersebut.

"Cuma saya minta rakyat Melaka tidak membeli beras dalam kuantiti banyak dan 10 kilogram itu cukup untuk menampung dalam tempoh seminggu.

"Jadi setiap minggu Kompleks Japerun akan melaksanakan penjualan beras tempatan untuk membantu rakyat agar tidak terputus bekalan beras," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!