Bayi lima bulan jalani lapan pembedahan

Muhamad Muzaffar Dannish kini berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan HRPB Ipoh.
Muhamad Muzaffar Dannish kini berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan HRPB Ipoh.
A
A
A

IPOH - Hati ibu mana yang sanggup melihat tubuh kecil bayinya berulang kali dibawa keluar masuk ke bilik pembedahan.

Namun itulah hakikat yang terpaksa diterima Zazilatuakma Mohd Zabidi, 39, selepas anak lelaki yang baru berusia lima bulan disahkan menderita penyakit lebihan cecair dalam otak atau hydrocephalus.

Zazilatuakma berkata, penyakit itu dikesan ketika anak ketiganya, Muhamad Muzaffar Dannish Mohamad Nasir memasuki usia tiga bulan.

Menurutnya, sejak detik itu, Muhamad Muzaffar Dannish perlu menjalani pembedahan memasang shunt iaitu terdiri daripada tiub bagi mengalihkan aliran cecair otak.

"Masuk ke usia lima bulan ini, sudah lapan kali bayi saya jalani pembedahan untuk tukar dan masukkan tiub sahaja.

"Ini sahaja cara yang ada buat masa ini kerana pemasangan shunt kekal tidak boleh dilakukan, doktor mengesan berlaku jangkitan kuman dalam otak bayi saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Zazilatuakma yang bekerja sebagai jurujual berkata, bayinya itu kini diletakkan di bawah pemantauan rapi pakar perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan perlu melakukan persampelan dua hari sekali.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Muzaffar Dannish menunggu masa sesuai untuk melakukan pembedahan pemasangan shunt kekal.
Muhamad Muzaffar Dannish menunggu masa sesuai untuk melakukan pembedahan pemasangan shunt kekal.

Katanya, jika jangkitan tidak lagi berlaku, maka pemasangan shunt kekal boleh dilakukan segera melibatkan kos sekitar RM3,000 sebagai rawatan bagi mengelak simptom yang lebih teruk.

"Bayi saya dilahirkan tidak cukup bulan semasa 27 minggu dalam kandungan dan memang sejak awal doktor mengesyaki ada sesuatu tidak kena padanya.

"Selepas menjalani imbasan CT (CT scan), barulah penyakitnya itu dapat dikesan sebelum rawatan demi rawatan dilakukan," katanya.

Dia dan suami, Mohamad Nasir Mt Isa, 36, bekerja di kilang mengharapkan usaha dan rawatan dilakukan dapat memberi kesembuhan kepada bayi mereka itu.

Ujarnya, sejak lahir, Muhamad Muzaffar Dannish belum pernah lagi dibawa pulang ke rumah mereka di Sungai Siput.

"Hospital ini sudah ibarat rumah kedua saya dan suami. Dua lagi anak saya berusia 6 dan 2 tahun juga tak pernah peluk atau cium adik mereka, hanya lihat wajahnya melalui video call sahaja.

"Harap sangat bila dapat masukkan tiub kekal nanti, saya dapat bawa dia balik ke rumah dalam keadaan sihat," katanya.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Zazilatuakma di talian 019-5708480.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!