Pengguna Jalan Kota Tinggi- Kluang diminta berhati-hati kehadiran tapir
JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor meminta orang ramai yang menggunakan laluan di Jalan Kota Tinggi- Kluang lebih berhati-hati dengan kehadiran tapir di kawasan tersebut.
Pengarahnya, Aminudin Jamin berkata ia susulan kemalangan membabitkan tiga motorsikal dengan seekor tapir di Kilometer 79 Jalan Kota Tinggi-Kluang, pada Rabu malam.
"Pengguna jalan raya diminta lebih berhati-hati pada waktu malam kerana difahamkan kawasan di situ gelap kerana tiada lampu jalan.
"Pemasangan papan tanda dan had kelajuan di kawasan lintasan hidupan liar telah dipasang di jalan Kota Tinggi- Kluang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau memberitahu, Jalan Kota Tinggi-Kluang turut menjadi lintasan haiwan liar seperti gajah, kera dan monyet kerana berdekatan kawasan hutan.
"Tapir aktif bergerak pada waktu malam begitu juga dengan gajah. Kemungkinan besar haiwan liar ini bergerak dari Taman Negara Endau- Rompin ke kawasan hutan berdekatan Kluang.
"Sekitar daerah Kluang ada hutan yang cukup besar yang menjadi habitat haiwan liar seperti gajah dan tapir," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pengguna jalan raya perlu mengurangkan kelajuan kenderaan, sekiranya ternampak papan tanda lintasan hidupan bagi mengurangkan risiko kemalangan antara gajah dan juga haiwan liar terutama gajah dan tapir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!