'Ibu hanya mahu berbaik, hidup tenang di samping anak-anak'
PUTRAJAYA - Warga emas yang merupakan mangsa di dalam video tular 'Derhaka Ibu' kini selamat di bawah jagaan sepupu beliau.
Bercakap kepada Sinar Harian, Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusof Azmi menjelaskan, pesara polis itu turut dibawa ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan rutin terhadap kesihatannya.
"Alhamdulillah mak cik okay dan kebetulan sepupu mak cik ini juga adalah ahli Semboyan telah membawanya ke klinik," kata beliau pada Khamis.
Menurutnya, kehadiran Semboyan adalah sebagai usaha untuk menjernihkan hubungan kekeluargaan wanita itu bersama anak-anaknya.
"Anak tersebut beranggapan ibu mereka mahu menyerahkan rumah, wang pencen kepada orang lain sedangkan tidak sebegitu.
"Di saat penghujung hayat, ibunya hanya mahu berbaik dengan semua, mahu hidup tenang di samping anak-anak," katanya.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan berhubung kejadian tersebut.
Katanya kesemua saksi yang terlibat telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati rakaman video tersebut dibuat rentetan satu kejadian yang berlaku pada 28 September lalu kira-kira jam 9.28 malam melibatkan selisih faham antara adik-beradik dengan warga emas tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!