Kedai permaidani di Nilai 3 diarah bina semula bahu jalan
NILAI - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan notis arahan kepada sebuah kedai permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini untuk membina semula kawasan hijau atau bahu jalan di hadapan premis kedai tersebut.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, arahan itu selepas kedai berkenaan didapati mengubah suai kawasan berkenaan sebagai penghubung ke jalan utama tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
"Notis arahan itu dikeluarkan pada 23 Jun lalu dan kedai permaidani itu diminta membina semula kawasan hijau atau bahu jalan di hadapan premis yang telah dibuka tanpa kelulusan MBS.
“Sekiranya gagal bertindak sedemikian, perkara ini akan dibawa ke mahkamah tanpa sebarang notis lagi bersesuaian dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam kenyataan pada Khamis berhubung video yang tular di media sosial mengenai perkara itu.
Sementara itu tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati terdapat beberapa pekerja sedang membina semula kawasan hijau dan bahu jalan di situ.
Selain itu, mengenai isu pengubahsuaian tandas di Pasar Borong Rakyat Nilai 3, Masri berkata, bangunan pasar borong terbabit yang melibatkan tujuh blok iaitu blok A hingga blok G dan blok pasar tersebut termasuk semua harta bersama seperti tandas dan kemudahan lain adalah merupakan lot persendirian dan bukannya milik MBS.
“Ia bangunan pemilikan berstrata yang diuruskan ejen pengurusan (JMB Pasar Borong Rakyat Nilai 3). Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1958 (Akta 318), hak milik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah tanggungjawab semua pemilik untuk menyelenggara dan menguruskan bangunan sendiri,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!