BN ada cara tarik sokongan pengundi luar - Amizar
BENTONG - Barisan Nasional (BN) mempunyai cara untuk mengatasi isu pengundi luar yang disebut lebih cenderung memilih Perikatan Nasional (PN), sekali gus menyumbang kepada kemenangan gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berkata, PN tidak boleh terlalu yakin dengan sokongan pengundi-pengundi luar khususnya anak muda kerana ruang demokrasi luas untuk pengundi membuat pilihan sendiri.
"Ini demokrasi, orang nak mengundi ini bergantung kepada mereka, kita tak tahu dia undi siapa pun. Jangan terlalu yakin pengundi luar kepada mereka dan kita pun ada cara kita dan pun ada cara nak menyelesaikan pengundi-pengundi luar ini.
"Namun yang penting, pengundi luar pun kena faham, lepas mengundi, dia balik dan mak ayah serta kawan-kawan dia yang tinggal kat sini.
"Siapa yang nak bantu kalau dia tinggal di luar, kawan-kawan dia kat sini, ibu bapa yang ada masalah, siapa yang ada di sini, siapa yang akan menanggung dan membantu?," katanya ditemui pemberita ketika Ziarah Kasih dan Jelajah Mesra di Felda Sungai Kemahal, di sini pada Khamis.
Beliau juga mengingatkan pengundi muda khususnya anak-anak Felda agar tidak lupa diri dan syok sendiri ketika membuat keputusan memilih wakil rakyat nanti.
"Ini penting. Kalau dia mengundi BN lagi bagus tapi jangan berkalih terutama skali anak-anak Felda ni kena ingat asal usul kita, dari Felda, jangan fikir syok sendiri, Felda tergadai.
"Jadi kena fikir bagaimana nak pertahankan apa yang ada hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!