RM125 bilion nilai aset amanah pusaka, wasiat MAAB

Abdul Fattah (berdiri, tengah) di majlis MoU MAAB dan BIMB di Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya di sini pada Khamis.
Abdul Fattah (berdiri, tengah) di majlis MoU MAAB dan BIMB di Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya di sini pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Syarikat pengurusan amanah, wasiat, hibah dan harta pusaka, MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) yang juga anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mendaftarkan hampir 250,000 kes membabitkan anggaran jumlah nilai aset sebanyak RM125 bilion setakat hari ini.

Menurut Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, daripada jumlah itu, MAAB sudah menguruskan sebanyak 728 fail bagi pentadbiran harta pusaka yang dianggarkan berjumlah RM250 juta.

"Ini termasuk akaun amanah individu, korporat dan pusaka anak-anak di bawah umur," katanya ditemui pemberita di majlis menandatangani Memorandum Persahaman (MoU) MAAB dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi MAAB, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan BIMB, Mizan Masram.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, melalui kerjasama strategik antara MAAB dan BIMB, MAAB bertindak sebagai penyedia perkhidmatan perwarisan harta terutama dalam penulisan wasiat dan pentadbiran harta pusaka.

"Sementara BIMB pula adalah sebagai rakan kerjasama strategik akan menjadi perantara untuk menjual produk-produk MAAB khususnya Wasiat Asas dan Rujukan Pusaka kepada pelanggan-pelanggan BIMB yang sedia ada dan baru," katanya.

Beliau turut menyatakan harapan supaya kerjasama tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam urusan perancangan harta sekali gus mengurangkan masalah harta terbeku khususnya melibatkan penduduk Muslim di negara ini.

"Usaha ini juga adalah sejajar dengan visi BIMB dalam bersaing menggunakan kerangka perkhidmatan yang terbuka dan kaedah digitalisasi dalam perkhidmatan serta memastikan kakitangan jualan BIMB dapat memasarkan pelbagai produk yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan BIMB.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga yakin ini dapat meningkatkan daya saing dalam industri perbankan negara serta menempatkan BIMB sebagai pemain utama perkhidmatan kewangan Islam di Malaysia dengan mempelbagaikan pilihan produk serta pelaburan untuk pelanggan," tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Ali yang juga Tokoh Koperasi Negara 2022 pula yakin MAAB akan dapat mengorak langkah lebih jauh bagi memastikan sasaran perolehan pada tahun 2023 sebanyak RM13.3 juta tercapai dengan terjalinnya kerjasama strategik bersama BIMB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!