Belanjawan 2024: Gerakan gesa perkenal semula MyBrain
SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan semula pemberian biasiswa MyBrain bagi pengajian sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PHD) yang dihentikan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.
Ketua Penerangannya, Wendy Subramaniam berpandangan skim biasiswa tersebut telah banyak membantu pelajar-pelajar terdiri daripada golongan B40 dan M40 untuk melanjutkan pelajaran pengajian tinggi dengan bantuan kerajaan.
Menurutnya, inisiatif tersebut dianggap penting bagi rakyat Malaysia kerana mereka akan mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi, mencari kepakaran dan juga menduduki kedudukan sosioekonomi lebih baik.
"Mengapa sebelum ini kerajaan memperkenalkan Modul MyBrain pada 2010 adalah untuk melahirkan lebih banyak insan yang dapat menyumbang kepada negara.
"Semasa persidangan di Dewan Negara pada Mac lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (dilaporkan) berkata, KPT akan mengemukakan permohonan peruntukan menerusi Rolling Plan ke 4 RMK12 untuk memperkenalkan semula program MyBrain15," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wendy yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gerakan sehubungan itu berharap KPT akan berpegang pada janji mereka untuk memperkenalkan semula MyBrain tanpa sebarang alasan yang menyusahkan bakal pelajar.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak membatalkan terus MyBrain, sebaliknya bersifat terbuka dalam mengadakan peluang pendidikan dan kepakaran yang bakal diperoleh oleh golongan terbabit di masa depan.
“Utamakan pendidikan, jangan sesekali berpolitik dalam isu pendidikan”, tambah Wendy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!