Kerajaan akan kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen tidak lama lagi - Wan Junaidi

Wan Junaidi. - Foto Bernama
Wan Junaidi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) tidak lama lagi.

Dalam pembentangannya pada Persidangan Parlimen Komanwel ke-66 di Accra, Ghana, pada Rabu, Wan Junaidi berkata kedua-dua akta itu akan dibawa pada persidangan Parlimen bulan ini.

"Akta-akta ini akan melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan dengan infrastruktur perundangan, prosedur dan pentadbiran untuk merealisasikan sepenuhnya fungsi dan tugasnya sebagai antara cabang pengasingan kuasa dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun Perlembagaan Persekutuan digubal oleh ahli Suruhanjaya Reid yang merupakan warga asing, kesaksamaan mereka, latihan undang-undang dan pengalaman dalam tradisi dan perlembagaan Parlimen Komanwel telah menyediakan draf terbaik untuk pelaksanaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, dalam pembentangannya, Wan Junaidi menjelaskan bahawa Bab dan Perkara Perlembagaan Persekutuan disusun dengan cara yang unik dan sistematik bagi memenuhi pelbagai keperluan negara itu sendiri serta pengasingan kuasa yang jelas bagi ketiga-tiga cabang kerajaan itu juga terjalin dan berhubung antara satu sama lain.

Meskipun konsep pengasingan kuasa ditunjukkan dalam bahagian Perkara yang berbeza, Wan Junaidi berkata, jentera masih belum diletakkan dan diaktifkan sepenuhnya dan konsep baharu Prinsip Latimer dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memerlukan lebih banyak lagi pendidikan dan kesedaran.

Bertemakan ‘The Commonwealth Charter 10 years on: Values and Principles for Parliaments to Uphold’, persidangan tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 Piagam Komanwel yang menggariskan prinsip dan nilai Komanwel.

Ia dihoskan oleh Parlimen Ghana dan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Cawangan Ghana di Accra, dari 30 September hingga 6 Oktober.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, pejabat itu berkata, Yang Dipertua Dewan Negara itu turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Senat Australia Senator Sue Lines pada Rabu di luar acara persidangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pertemuan itu turut dihadiri delesai Malaysia yang lain termasuk Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Senator Isaiah D Jacob dan Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

"Wan Junaidi juga memaklumkan mesyuarat itu mengenai lawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed ke Parlimen Australia pada minggu ketiga Oktober 2023.

"Beliau memberikan taklimat komprehensif mengenai tujuan lawatan itu, iaitu untuk mengetahui tentang Sistem Jawatankuasa Australia, proses Parlimen menjaga akauntabiliti Kabinet, pemantauan tindakan Eksekutif dan undang-undang parlimen lain yang berkaitan, peraturan Dewan dan etika untuk kelakuan Ahli-Ahli Parlimen dalam mesyuarat,” kata kenyataan itu.

Ini adalah mesyuarat pertama antara kedua-dua dewan sejak pelantikan Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 19 Jun 2023, dan perbincangan yang membina semasa mesyuarat ini akan terus mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!