Perjanjian hantar pekerja Malaysia ke Jepun belum muktamad
PUTRAJAYA - Memorandum kerjasama (MoC) bagi Malaysia menghantar pekerja separa mahir ke Jepun masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
"MoC dengan Jepun masih dirangka dan belum dimuktamadkan lagi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan berita baru-baru ini bahawa Malaysia akan menandatangani MoC dengan Jepun, yang menerima pelbagai respons.
Menjawab kepada kritikan, Kula Segaran berkata adalah tidak adil untuk menghalang rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan yang baik di luar negara dan adalah kurang bijak untuk berfikir bahawa rakyat Malaysia tidak akan mencari pekerjaan di luar negara walaupun perjanjian rasmi tidak tercapai.
"Sekurang-kurangnya dengan perjanjian rasmi, mungkin ada perlindungan dan pemantauan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia dan perkembangan mereka juga dapat dipantau," katanya.
Terdapat kira-kira sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, dengan 500,000 daripadanya bekerja di Singapura sahaja, katanya.
Kula Segaran berkata rakyat Malaysia yang bekerja di Jepun bukan sahaja akan mendapat gaji yang baik tetapi juga mendapat pengalaman dalam kemahiran dan teknologi yang kemudiannya dapat membawa balik ke Malaysia apabila mereka pulang.
Rakyat Malaysia juga akan didedahkan kepada tenaga kerja yang sangat profesional di Jepun yang mempunyai standard dan etika tertinggi, katanya.
"Harapannya ialah mereka akan mencontohi etika ini dan mengajar rakyat Malaysia yang lebih muda tentang prinsip yang sama apabila mereka kembali ke negara ini," katanya.
Kula Segaran juga menegaskan bahawa bukan mudah untuk memenuhi syarat bekerja di Jepun kerana hanya mereka yang dinilai oleh kerajaan Jepun sebagai mahir dan cekap berbahasa Jepun akan dipertimbangkan.
"Fikirkan berapa banyak manfaat yang negara kita akan dapat daripadanya seiring dengan Dasar Pandang Ke Timur yang diaktifkan semula baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata Filipina dan India telah mendapat faedah mengeksport pekerja mereka ke luar negara.
Malaysia, katanya, terpaksa bergerak ke arah yang sama untuk pelaksanaan automasi yang dihasilkan oleh Revolusi Perindustrian 4.0, di mana kebanyakan pekerjaan akan berubah kepada tenaga lebih mahir dan teknikal.
"Selain itu, rakyat Malaysia di luar negara juga biasanya menghantar sejumlah besar wang kepada keluarga atau orang tersayang, yang bermakna lebih banyak pendapatan boleh guna di negara ini," katanya.
"Malaysia Baharu tidak lama lagi akan terdiri daripada tenaga kerja yang sangat mahir dan bergaji tinggi, tetapi sebelum itu kita perlu memberikan kemahiran, kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran kita serta meneroka ke bidang baru untuk mempelajari etika kerja yang baik dan meningkatkan produktiviti kita serta mengkaji teknologi mereka supaya Malaysia boleh menikmati manfaatnya juga," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!