'Ampun maaf, andai menyusahkan' - Ah Pek
KLUANG - "Ampun maaf dari kami andai yang terjadi ada menyusahkan anda semua. Apa-apa pun, Alhamdulillah," ujar pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ah Pek.
Ah Pek merupakan waris empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang, selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian, Terengganu hujung minggu lalu.
Menurut Ah Pek, apa yang jadi selama tiga hari apabila tidak dapat menghubungi anak-anaknya bukan perkara remeh.
"Andai semuanya berjalan seperti biasa mungkin saya tidak terfikir nak report polis dan sebagainya.
"Tapi macam mana, dorang sampai pulau dalam berapa jam terus lost contact sampai hari ketiga tanpa berita.
"Ada yang senang dan ada yang memperlekehkan, bila kes selesai. Apa pun saya hanya bersyukur ke hadrat Ilahi atas doa ihsan mak ayah, kawan-kawan termasuk semua orang luar yang membantu di setiap pergerakan saya dari Kluang-Besut sehinggalah balik ke Kluang," tulisnya.
Pada Selasa, empat sekeluarga yang sebelum ini dilaporkan 'hilang' selepas gagal dihubungi ketika bercuti di Pulau Perhentian selamat pulang ke pangkuan keluarga di Kluang, Johor.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan oleh ahli keluarga yang menyatakan semuanya sudah pulang dengan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!