BN-PH diramal gagal pertahankan kubu kuat di Pelangai - Hamdan

Hamdan
Hamdan
A
A
A

BENTONG - Perikatan Nasional (PN) meramal Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya PN Pahang, Hamdan Abdullah berkata, ini kerana penduduk di DUN Pelangai mahukan pembaharuan.

"Kebarangkalian UMNO gagal pertahankan DUN Pelangai yang (pengundi) mahukan perubahan lebih baik, terutama pekan Simpang Pelangai dan di (kawasan) Felda dilihat sangat ketara dari maklum balas lapangan.

"Namun, dari pemerhatian dan dapatan kami di bilik operasi induk di Pelangai, mendapati PN sedang bersaing secara sihat dengan BN-DAP, sekali pun BN cuba untuk tidak mengaitkan kebersamaan mereka dengan parti cauvanis DAP," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, modus operandi menguasai undi dari kelompok sasaran ini masih diteruskan di PRK Pelangai oleh UMNO dan DAP secara agresif.

Dakwanya, BN dilihat menggunakan hampir semua agensi kerajaan, sama ada negeri dan persekutuan supaya melaksanakan aktiviti dan program 'kemakmuran' mereka di Pelangai.

Tambah Hamdan, penganjuran program itu didakwa dilakukan secara kebetulan semasa kempen PRK di kawasan berkenaan.

"Kami juga dapat lihat petugas jalinan rakyat UMNO jerih berkempen untuk kekalkan jumlah sasaran putih mereka," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK Pelangai kali ini, seramai 16,456 layak mengundi, terdiri daripada 12,237 Melayu, 2,991 China, 1,210 India dan Asli serta 18 lain-lain.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!