Syafiq-Aifa raih perak beregu campuran skuasy

Gandingan Skuasy negara Syafiq-Aifa ketika beraksi dalam acara akhir beregu campuran menentang India Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu pada Sukan Asian Hangzhou 2022 di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Khamis. - Foto Bernama
Gandingan Skuasy negara Syafiq-Aifa ketika beraksi dalam acara akhir beregu campuran menentang India Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu pada Sukan Asian Hangzhou 2022 di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN skuasy negara Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman terlepas memenangi pingat emas acara beregu campuran yang buat pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia, selepas tewas kepada Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu dari India pada Khamis.

Walaupun memberikan tentangan sengit selepas ketinggalan 2-9 pada set kedua, Mohammad Syafiq-Aifa gagal menyekat kemenangan juara acara beregu campuran di Kejohanan Skuasy Asia itu daripada memenangi emas bersejarah, dengan 11-10,11-10, di Gelanggang Skuasy Pusat Olimpik Hangzhou, di sini.

Bagaimanapun pasangan Malaysia itu boleh berbangga dengan pencapaian mereka kerana menjadi pemenang pingat perak pertama acara itu di Sukan Asia, yang mula dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou.

Aifa yang tidak dapat menahan dirinya daripada menangis ketika sidang media berkata, mereka menyasarkan untuk menang emas, namum terpaksa berpuas hati dengan pingat perak itu.

"Jelas sekali pada set kedua saya lakukan banyak kesilapan, menyebabkan kami ketinggalan jauh, tetapi saya gembira dengan Syafiq yang terus bersama saya dalam permainan, sehingga mendahului 10-9.

"Namun, kita tidak dapat menang. Ia masih satu prestasi yang baik dan gembira dengan pencapaian kami,” katanya selepas perlawanan.

Mohammad Syafiq berkata, selepas berlatih keras selama dua tahun untuk menang emas, namun mereka hanya dapat pingat perak.

"Kami telah berikan segalanya di gelanggang hari ini. Dari segi usaha, semangat melawan dan mental, saya berbangga dengan pasukan kami. Namun, pasangan India lebih berpengalaman sedikit dalam menangani tekanan pada perlawanan akhir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Syafiq-Aifa layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Abhay Singh-Anahat Singh dari India, 8-11, 11-2, 11-9, semalam, manakala Dipika-Harinder mengalahkan Wong Chi Him-Lee Ka Yi dari Hong Kong, 7-11 11-7 11-9. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!