Geng curi kenderaan tumpas, empat lelaki ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang pemilik bengkel antara empat individu yang ditahan dalam Op Lejang selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri dan meleraikan komponen kenderaan untuk dijual.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua empat lelaki berusia 26 hingga 42 tahun itu ditahan di sebuah bengkel di Klang, Selangor, pada 18 September lalu.
"Seorang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Myanmar ditahan dalam serbuan itu.
"Kita merampas empat rangka kenderaan dan 15 bongkah enjin pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM83,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Liew berusia 42 tahun.
"Modus operandi kumpulan itu adalah sesebuah kenderaan yang dicuri akan diuruskan oleh Liew.
"Setelah kenderaan atau bahagian yang telah dicuri itu akan dijual kepada bengkel yang berminat dengan anggaran harga RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada model kenderaan tersebut," katanya.
Ujar Allaudeen, pihak bengkel akan mengambil alat ganti dari kenderaan tersebut dan dipasang pada kenderaan yang ingin dibaik pulih.
"Semakan mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan saringan awal ujian air kencing kesemua suspek adalah negatif," katanya.
Kata beliau lagi, susulan operasi yang dijalankan, Polis Sentul berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian yang dilaporkan.
"Sebanyak lima kes di Sentul, Cheras (3), Wangsa Maju (2) dan satu kes di Brickfields, manakala empat lagi kes di Serdang, Selangor.
"Kesemua suspek masih ditahan reman dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!