Isu Warisan, SB tak perlu diperbesarkan

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden pegawai polis Cawangan Khas (SB) yang didakwa dihalang menghadiri sidang akhbar anjuran Parti Warisan di Sabah baru-baru ini kerana tidak memperkenalkan diri tidak perlu diperbesarkan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata beliau tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai isu kerana ia tidak menjejaskan pasukan memandangkan anggota polis akan terus menjalankan tanggungjawabnya memastikan keselamatan dan kelancaran sesuatu acara.

Apabila ditanya adakah perlu anggota SB memperkenalkan diri beliau berkata “Saya akan minta baget daripada Kementerian Dalam Negeri untuk membeli plakad agar mereka dapat memperkenalkan diri,” katanya sambil tersenyum sinis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tugas kepada timbalannya, Mazlan Mansor di Bukit Aman di sini.

Semalam, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata tidak ada isu sekiranya anggota SB mahu menghadiri acara parti itu atau kerajaan, tetapi mereka perlu memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Sementara itu, majlis itu juga menyaksikan ketua polis Pulau Pinang Datuk Saiful Azly Kamaruddin dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkuatkuasa hari ini.

Majlis penyerahan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Abdul Hamid di Bukit Aman, di sini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!