JDT jalin kerjasama dengan IKEA, Toppen

Bakker (dua dari kiri) dan Tony Vatuiu (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Edwards (kiri) dan Kevin Ramalingam pada Majlis Kerjasama antara IKEA Tebrau dan Pusat Beli-Belah Toppen dengan JDT untuk Membina Penglibatan Komuniti di Johor Menerusi Bolasepak di Ibu Pejabat JDT pada Khamis.
Bakker (dua dari kiri) dan Tony Vatuiu (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Edwards (kiri) dan Kevin Ramalingam pada Majlis Kerjasama antara IKEA Tebrau dan Pusat Beli-Belah Toppen dengan JDT untuk Membina Penglibatan Komuniti di Johor Menerusi Bolasepak di Ibu Pejabat JDT pada Khamis.
A
A
A

JUARA Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan kerjasama tiga tahun bersama IKEA Tebrau dan pusat beli belah Toppen, bagi menyemarakkan hubungan komuniti di Johor menerusi bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kerjasama tersebut bernilai jutaan ringgit dan kelab itu teruja untuk bekerjasama dalam satu misi menyatupadukan komuniti, terutamanya peminat menerusi kuasa sukan.

“JDT ialah sebuah kelab yang berjaya dan saya teruja kerana terdapat banyak jenama antarabangsa yang mahu terlibat dan bekerjasama dengan kami.

“Kerjasama ini tentunya akan membawakan situasi menang-menang untuk kami, IKEA dan Toppen. Namun yang lebih penting lagi akan membawakan kegembiraan kepada peminat kami,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Unit Komersial JDT, Kevin Ramalingam; Pengurus IKEA Tebrau, Tony Vatuiu dan Pengarah Pusat Komersial Ikano, Arnoud Bakker.

Sementara itu, Bakker berkata, dengan kerjasama itu, Toppen akan membuka sebuah rumah kelab peminat di atas bumbung terbukanya, The Topp tahun hadapan.

Katanya, rumah kelab itu akan menampilkan sebuah gudang barangan dan ruang yang direka khusus untuk penyokong JDT berhimpun dan menonton perlawanan bola sepak JDT secara langsung, dengan kapasiti 4,000 orang.

“Siaran langsung itu akan menjadi destinasi tunggal di Johor selain di stadium JDT, yang penonton boleh menonton secara konsisten bersama rakan-rakan peminat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tony berkata, pihaknya sedang memuktamadkan konsep unik yang menawarkan para penyokong peluang untuk menikmati makanan IKEA kegemaran mereka, sambil menghayati inspirasi perabot rumah di Stadium Sultan Ibrahim.

Katanya, kerjasama itu juga merangkumi penyelesaian reka bentuk IKEA for Business bagi kawasan-kawasan penting di Stadium Sultan Ibrahim, selain promosi khas untuk penyokong Harimau Selatan di IKEA Tebrau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!