Malaysia pertahan gangsa compound berpasukan lelaki
KEM memanah kebangsaan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya menuai sebutir pingat di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas merangkul gangsa dalam acara compound berpasukan lelaki di Pusat Sukan Fuyang Yinhu pada Khamis.
Kilauan pingat yang dinanti-nantikan itu disumbangkan trio Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz dan Mohamad Syafiq Md Ariffin selepas mencatat kemenangan 228-208 ke atas Chang Cheng-Wei, Chen Chieh-Lun dan Yang Cheng-Jui dari Taiwan pada aksi penentuan gangsa.
Ia sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mempertahankan pencapaian yang dilakar trio Mohd Juwaidi, Alang Ariff dan Lee Kin Lip pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Terdahulu, trio negara tersingkir di peringkat separuh akhir selepas tewas tipis 230-232 kepada Korea Selatan yang dibarisi Joo Jaehoon, Yang Jaewon dan Kim Jongho.
Trio Korea Selatan itu kemudian menamatkan saingan dengan merangkul perak selepas tewas 230-235 kepada pemenang emas Ojas Pravin Deotale, Abhishek Verma dan Prathamesh Samadhan Jawkar dari India di pentas final. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!