AS 'pulangkan' panda gergasi
Haiwan jadi simbol diplomatik dikembalikan semula kepada China pada akhir 2023
WASHINGTON - Tidak kira jarak atau keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, Jane Christensen tetap mahu melihat panda gergasi sebelum haiwan yang menjadi simbol hubungan diplomatik bersama China itu meninggalkan Amerika Syarikat (AS).
Christensen yang berusia dalam lingkungan 60-an memberitahu dia terpesona dengan kecomelan spesies itu sejak lebih setengah abad lalu apabila Beijing menghadiahkan dua ekor panda kepada Washington.
“Sejak itu saya ada panda-monium. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai acara 'Panda Palooza' ini,” jelasnya ketika tiba di luar pameran Zoo Negara Smithsonian di Washington yang terletak ratusan batu dari kediamannya di Michigan.
Ia sememangnya satu khabar mendukacitakan kerana ketiga-tiga panda gergasi yang ditempatkan di zoo berkenaan akan dihantar pulang ke China menjelang akhir tahun ini, sekali gus menamatkan 'hubungan' selama beberapa dekad.
Keputusan itu sudah dijangka memandangkan syarat tersebut terkandung dalam kontrak malah ketegangan yang semakin meningkat antara Washington-Beijing juga dilihat sebagai punca 'terputusnya' simbol hubungan diplomatik tersebut.
Panda gergasi itu pertama kali tiba dari China pada 1972 sebagai 'hadiah' susulan lawatan bersejarah Presiden ke-37 AS, Richard Nixon ke Beijing.
Keunikan spesies itu yang berjaya menarik minat sesiapa sahaja selain menjadi sumber pendapatan berpotensi untuk program pemuliharaan menyebabkan China 'meminjamkan' panda gergasi kepada zoo di seluruh dunia di bawah program 'Diplomasi Panda'.
Di Zoo Smithsonian, jutaan dolar telah diperuntukkan untuk penyelidikan haiwan itu terutamanya yang berkaitan dengan pembiakan termasuk 'Panda Cam' yang bertujuan untuk mengawasi tingkah laku dan keadaan kesihatan panda selama tempoh 24 jam.
“Kami sentiasa mengikuti perkembangannya pada setiap hari melalui live streaming. Akhirnya kami dapat melihat sendiri di depan mata.
“Saya amat sedih apabila mendapat tahu ia akan dikembalikan kepada negara asalnya. Tiada lagi telatah panda gergasi yang akan menghiburkan peminat di Amerika Utara kecuali seekor yang sudah terlalu tua dan ditempatkan di Mexico,” kata seorang lagi peminat panda, Heidi Greco yang sanggup memandu selama beberapa jam dari Ohio bersama keluarganya.
Difahamkan, Zoo Atlanta di negeri selatan Georgia juga akan menghantar pulang empat ekor panda gergasi ke China menjelang akhir 2024.
TAMAT KONTRAK 'PINJAMAN'
Panda gergasi digelar Mei Xiang dan Tian Tian tiba di Washington pada tahun 2000 dan melahirkan empat ekor anak termasuk Xiao Qi Ji yang dilahirkan pada 2020 turut akan dihantar pulang pada Disember depan.
Ketika lawatan Presiden China, Xi Jinping pada 2015, isteri beliau bersama Wanita Pertama ketika itu pernah menganjurkan sebuah acara rasmi untuk mengumumkan nama anak panda yang digelar sebagai Bei Bei.
Lapan tahun kemudian, hubungan Washington-Beijing mula tegang susulan kempen pencerobohan yang semakin meningkat ke atas Taiwan selain pertikaian berhubung isu perdagangan antara dua kuasa besar dunia itu.
“Pemerintah China berbesar hati untuk 'menganugerahkan' panda kepada negara yang dilihat berpotensi menjalinkan hubungan erat dengannya. Oleh itu, tidak hairanlah pihak berkuasa Beijing tidak berhasrat melanjutkan tempoh 'pinjaman' dengan zoo di AS kerana krisis yang semakin meningkat antara kedua-dua negara,” kata bekas diplomat dan rakan pengurusan firma perunding, Asia Group, Kurt Tong.
Jelasnya, kontrak 'pinjaman' itu sedikit sebanyak dapat membantu China menampung bajet pemuliharaan panda memandangkan Smithsonian membayar AS$500,000 (RM2.35 juta) setahun kepada agensi berkaitan.
Penghantaran pulang panda tersebut bakal menutup lembaran utama kisah kejayaan penjagaan dan pemuliharaan haiwan yang menjadi simbol diplomatik sejak puluhan tahun lalu.
Smithsonian dalam satu kenyataan menjelaskan ia akan meneruskan usaha untuk menjamin dan melindungi masa depan panda gergasi yang turut disenaraikan sebagai antara spesies terancam.
Pengunjung zoo berkenaan pastinya akan merindui telatah lucu dan comel panda yang pernah menghiburkan mereka sejak lebih lima dekad lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!