Masalah kewangan, takut teknologi punca ambil lesen memandu
BACHOK - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendedahkan masalah kewangan, takut kepada teknologi antara punca sesetengah rakyat di negeri ini memiliki lesen memandu pada lewat usia.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, selain itu masalah buta huruf menyebabkan mereka malu serta tidak yakin untuk berbuat demikian.
"Semua ini kami temui semasa program Lesen P Mylesen (B2) percuma diadakan.
"Alhamdulillah, melalui pendekatan ini kita telah bantu ramai rakyat dari pelbagai peringkat umur untuk memiliki lesen dengan cara mudah serta percuma," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Lesen P Mylesen (B2) Percuma kepada 210 calon di Akademi Memandu KIST (AMKIST), Telong, di sini.
Hadir sama, Pengarah Urusan AMKIST, Datin Noor Haslina Abdullah dan Ketua Pelesenan Memandu JPJ Kelantan, Apandi Jusoh.
Menurut Mohd Misuari, program yang bermula pada 23 Jun lalu itu telah melibatkan seramai 900 calon dari seluruh negeri dan dipilih menerusi senarai e-Kasih.
Ujarnya, daripada jumlah tersebut Kota Bharu menjadi penyumbang peserta paling tinggi iaitu 298 orang, Pasir Mas (260), Bachok (210), Machang (50), Jeli (38) dan Gua Musang (44).
Tambah beliau, daripada jumlah tersebut seramai 721 peserta telah lulus manakala 179 lagi masih bergelar calon ulangan.
"Peserta paling muda berusia 16 tahun manakala yang tertua ialah 59 tahun.
"Insya-ALLAH tahun hadapan akan ada lebih ramai lagi peserta yang mendapat manfaat daripada program ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!