Pemuda Pakistan didenda RM5,000 menunggang secara berbahaya

Tangkap layar video yang memaparkan lelaki Pakistan melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Kota Tinggi- Kluang pada April lalu.
Tangkap layar video yang memaparkan lelaki Pakistan melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Kota Tinggi- Kluang pada April lalu.
A
A
A

KLUANG - Seorang pemuda warga Pakistan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya pada April lalu.

Tertuduh Shah Fahad Khan, 22, dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shah Fahad didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya yang boleh membahayakan orang awam di Jalan Kota Tinggi-Kluang, dekat sini, pada jam 11 malam, 3 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta penjara.

Peguam Shah Fahad, Navin Punj dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya hukuman denda diringankan dengan alasan hanya beerja sebagai pemotong rumput dengan gaji RM1,500.

Navin berkata, ini kerana tertuduh menanggung keluarganya di negara asal termasuk ibunya yang sakit jantung selain tidak mempunyai pengetahuan kesan daripada perbuatannya itu dan pada masa sama sudah insaf.

Shah Fahad kemudian membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 6 April lalu melaporkan, lelaki berkenaan ditahan polis kerana melakukan aksi 'wheelie' ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 85.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, video memaparkan lelaki terbabit menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya itu dikesan polis setelah tular dalam media sosial.

Menurutnya, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu di sini.

Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu telah disaman kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!