'Kami peniaga tempatan, tapi rasa macam peniaga asing'
NILAI - Kawasan Pusat Perniagaan Borong Nilai 3 di sini boleh dikatakan telah 'ditawan' warga asing apabila kebanyakan deretan lot kedai di situ 'dikuasai' oleh mereka khususnya warga Pakistan dan Bangladesh.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakannya menjalankan perniagaan permaidani dan perhiasan ayat al-Quran.
Sama ada perniagaan itu diusahakan sendiri atau mereka bekerja dengan majikan warga tempatan tidak dapat dipastikan, begitu juga status sama ada bekerja secara sah atau tidak.
Hanya terdapat beberapa lot kedai saja dikendalikan peniaga tempatan yang antaranya menjual barangan majlis perkahwinan, tekstil, aksesori kereta dan peralatan dapur.
Jika ramai pun peniaga tempatan, ditemui di tepi-tepi jalan berniaga makanan dan minuman.
Kebanyakan peniaga tempatan ditemui turut meluahkan perasaan yang mereka pula rasa seperti peniaga warga asing di kawasan berkenaan.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Nor, 43, mendakwa kebanyakan warga Pakistan yang memiliki perniagaan di situ menggunakan nama isteri mereka warga tempatan untuk mendapatkan lesen perniagaan.
"Jadi soal lesen tidak ada isu. Itu yang mereka ini semakin menjadi-jadi, ditambah pula pekerja pun diambil dalam kalangan 'orang mereka' juga.
"Lama kelamaan, kawasan Nilai 3 ini dah jadi macam tempat mereka kerana mereka lagi ramai daripada orang tempatan," katanya kepada Sinar Harian.
Dia yang sudah membuka gerai menjual goreng pisang di situ lebih 20 tahun berkata, pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen perlu melakukan pemeriksaan dokumen pekerja warga asing terbabit kerana kemungkinan ada yang bekerja tanpa permit.
Peniaga air, Hisham Abu Bakar, 38 berkata, pada awal kawasan perniagaan di situ dibuka sememangnya ramai orang tempatan berniaga tetapi tidak pasti kenapa lama kelamaan semakin berkurangan.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan kewujudan perniagaan warga asing di kawasan itu telah menaikkan kawasan terbabit.
"Saya boleh katakan 80 peratus peniaga di sini adalah Pakistan yang menjual permaidani dan sekarang ini dah mula masuk warga Bangladesh urus kedai langsir.
"Mereka ini tidaklah jahat dan tidak menganggu kami, tapi ada segelintirnya mula besar kepala sejak kelompok mereka semakin ramai," katanya.
Tambahnya, yang menjadi persoalan kebanyakan peniaga di sini, bagaimana warga asing boleh dibiarkan begitu saja memenuhi premis perniagaan di Nilai 3.
Katanya, warga asing juga kelihatan semakin bebas menjalankan perniagaan.
"Kalau tengok terjahan dibuat oleh seorang ustaz baru-baru ini di sini, ada warga asing didapati boleh buka kedai makan sesuka hati.
"Itu yang kami tak puas hati kerana kalau orang tempatan berniaga mudah saja tindakan diambil, tapi tidak warga asing ini," katanya.
Zulkefli Romli, 42, pula tidak menolak kemungkinan ada warga tempatan tidak bertanggungjawab menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.
"Saya tak mahu tuduh sesiapa tetapi pihak berkuasa perlu siasat mengenainya dan pada masa sama perlu telus jalankan tugas.
"Tapi sekarang ini kami pula dah jadi macam peniaga asing kerana 'orang dia' lagi ramai berniaga daripada kita warga tempatan," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kerajaan negeri akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti tindakan bersesuaian boleh diambil bagi mengelakkan ia berterusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula kelulusan lesen perniagaan di situ dan pihak berkuasa Jabatan Imigresen khususnya melakukan pemantauan secara berkala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!