Regu negara mara ke separuh akhir
SEPERTI dijangka, skuad sepak takraw kebangsaan tidak berdepan masalah melangkah ke peringkat separuh akhir acara antara regu lelaki dengan bergaya pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, di sini pada Khamis.
Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu mara selaku juara Kumpulan A selepas meraih kemenangan masing-masing ke atas Vietnam dan Singapura di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, kira-kira 170 kilometer (km) dari sini.
Pada aksi pertama kumpulan di sebelah pagi, regu negara Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican dikejutkan oleh trio Vietnam, Dau Van Hoang, Vuong Minh Chau dan Nguyen Hoang Lan, 17-21 di set pertama.
Namun, mereka berjaya bangkit untuk menoktahkan kemenangan dalam dua set berikutnya dengan keputusan 21-9, 21-11.
Momentum positif itu diteruskan pada aksi kedua di sebelah petang yang menyaksikan trio Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan dan Muhammad Zarif mudah membenam cabaran Singapura dibarisi Muhammad A’fif Safiee, Muhammad Ramli Saari dan Asy Syariq Mohamad Khalid 21-10, 21-6 dalam tempoh 34 minit.
Lawan Malaysia di pentas separuh akhir akan diketahui selepas saingan Kumpulan B yang membariskan jaguh Thailand, Myanmar, India dan Filipina tamat esok.
Kejayaan layak ke separuh akhir itu menyaksikan Malaysia berada di landasan tepat dalam menebus kekecewaan terlepas perak acara regu berpasukan lelaki selepas tewas kepada Thailand, Jumaat lepas. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!