Mayat Orang Asli dibaham harimau ditemui tidak sempurna
GUA MUSANG - Mayat lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25, yang maut dipercayai dibaham harimau dalam kejadian di Pos Pasik di sini ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh anggota pasukan penyelamat.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan cakaran di leher mangsa dikatakan akibat cengkaman kuku harimau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan fizikal juga mendapati kaki sebelah kiri mangsa telah tiada dan mukanya dalam keadaan tidak sempurna kerana dipercayai dimakan binatang buas berkenaan.
"Organ dalaman di kepala mangsa juga sudah tiada serta berlaku kecederaan di bahagian punggung.
"Mangsa ditemukan pada jam 11.30 pagi atas tanah di kawasan bercerun kawasan semak berhampiran dengan ladang sawit.
"Semasa ditemukan mayat mangsa dalam keadaan terbaring dengan tubuh yang tidak sempurna," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa diseret sejauh 300 meter ke bawah cerun hutan belukar dari kawasan dia dipercayai diterkam oleh binatang buas itu.
Ujarnya, anggota keselamatan mengambil masa satu jam 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari tempat dia diseret ke dalam cerun bukit.
Choon Foo memberitahu, operasi mencari mayat mangsa membabitkan 27 anggota keselamatan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Beliau menasihatkan penduduk Orang Asli di sekitar Pos Pasik berhati-hati dan sentiasa bergerak secara berkumpulan sekiranya mereka berada di kawasan hutan.
"Kami percaya haiwan liar itu masih berkeliaran di kawasan terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!