Lelaki hilang ditemui mati atas pokok dokong
BESUT - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar mencari petai pada pagi Rabu ditemukan meninggal dunia di atas pokok dokong pada Khamis.
Mayat Saa'ri Ghani, 53, ditemukan pasukan penyelamat pada ketinggian enam meter kira-kira jam 5.15 petang di kampung Dusun Beliku, Jertih, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mohd Tarmimi Che Musa berkata, mangsa dikatakan keluar pada jam 9 pagi untuk mencari petai di kawasan hutan sekitar rumahnya yang terletak pada jarak 200 meter dari lokasi kejadian.
"Kita menerima panggilan kecemasan jam 3.50 petang pada Khamis dan menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh lima anggota penyelamat menemukan mangsa dalam keadaan tersangkut di celah dahan pokok dokong.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun pada jam 6.15 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!