Kongsikan cerita jalan hidayah
SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Bayyinah Institute yang berpangkalan di Dallas Texas mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Pertandingan Menulis Cerita bertemakan Jalan Hidayah berdasarkan Surah Al-Insan ayat 3 dalam bahasa Inggeris yang akan berakhir pada 5 November depan.
Pertandingan di peringkat global itu dianjurkan sempena World #QuranConvention 2023 yang bertemakan Served to be Serve: A Divine Guidance From Surah Al-Insan di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang pada 2 Disember depan.
World #QuranConvention mengajak masyarakat untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal agar wujudnya perubahan kerangka fikir dan karakter diri berpandukan al-Quran dan al-Hadis.
Pegangan itu merupakan panduan dalam setiap aspek kehidupan sama ada di rumah, tempat kerja, peringkat komuniti, negara atau global.
Pengarah Program, Fiffy Nur Adila Mohamad Feroz berkata, Pertandingan Menulis Cerita membuka peluang kepada penulis dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian dan berkongsi bakat mereka dalam penulisan cerita yang digarapkan dengan nilai-nilai al-Quran.
Menurutnya, surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada kempen #QuranHour tahun ini membawa nilai 11 karakter abrar atau orang yang membuat kebaikan.
“Ia bermula dengan diri sendiri, keluarga, organisasi, seterusnya membentuk negara berbudi dan penyayang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, bermula 27 September lalu sehingga kini, penganjur sudah menerima penyertaan dari Indonesia, New Zealand, Jordan, Amerika Syarikat, Nigeria, Bangladesh, Malaysia dan India.
“Penulisan ini diharapkan dapat menonjolkan warisan, budaya dan kreativiti negara peserta masing-masing yang menyentuh hati dan minda. Perjalanan penceritaan yang luar biasa dan merentasi sempadan dapat menyatukan ummah melalui keindahan al-Quran.
“Cerita yang dipilih akan dimuatkan dalam kompilasi e-book. Pemenang akan menerima e-book itu dan pengiktirafan bagi sumbangan mereka. Hanya seorang pemenang yang dipilih mendapat tajaan untuk menyertai World #QuranConvention.
“Peserta boleh menghantar penulisan cerita tidak lebih 1,000 perkataan di sekitar tema seseorang itu kembali ke jalan ALLAH. Sebagai panduan, sila tonton klip video pendek di YouTube mengenai Ustaz Nouman Ali Khan bertajuk Relax, ALLAH Knows Exactly What You Need,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan itu terbuka kepada penulis berusia 18 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, namun peserta di bawah usia 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
“Hasil karya perlu mematuhi tema dalam mempromosikan naratif Muslim yang positif dan kandungan yang diciplak, menyinggung perasaan atau tidak sesuai akan dibatalkan kelayakannya.
“Semua karya yang dihantar mestilah asli dan tidak diterbitkan sebelum ini dalam sebarang bentuk, memastikan integriti dan keunikan kandungan untuk tujuan pertandingan,” jelasnya.
Juri terdiri daripada Pengarah World #QuranConvention, Nouman Ali Khan; Director of World #QuranConvention, Usahawan dan Penasihat Media, Ibrahim Eren serta Ketua Penolong Pengarah Unit Kandungan Kreatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Muhammad Mahmuddin.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari https://www.worldquranconvention.com/story-writing-competition/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!