Logik akal mampu elak jadi mangsa scammer
MASALAH penipuan atau lebih popular dengan istilah scam di negara ini, dilihat bagaikan tiada kesudahannya apabila saban hari isu-isu sedemikian dipaparkan di pelbagai platform media hari ini.
Sama ada menjadi tajuk utama atau tajuk kecil, masalah penipuan ini seperti money scam, love scam, job scam dan sebagainya dilihat semakin menjadi-jadi walaupun pelbagai cara telah dijalankan dalam usaha membanteras kes-kes penipuan seumpamanya.
Bagaimanapun, segala usaha berkenaan boleh dikatakan ibarat menjirus air ke daun keladi apabila mangsa penipuan tersebut semakin bertambah dari sehari ke sehari dan fenomena ini nyata cukup membimbangkan.
Malah, hari ini bukan orang biasa-biasa sahaja yang menjadi sasaran scammer ini kerana mereka semakin berani menghubungi dan cuba memperdayakan individu-individu serta pihak berpengaruh seperti pegawai tinggi polis!
Mungkin scammer tidak mengenali pihak yang dihubungi kerana difahamkan ada dalam kalangan mereka merupakan warga negara asing. Namun jika mereka merupakan warga negara Malaysia, tindakan sebegitu sudah cukup menggambarkan keberanian mereka ketika ini.
Timbul persoalan, bagaimanakah mereka ini boleh jadi sebegitu berani hanya semata-mata mahu menjayakan ‘misi menipu’ atau memperdayakan orang ramai?
Jawapannya ada pada diri kita sendiri kerana kita sendirilah yang merelakan diri untuk menjadi mangsa atau dalam kata lain kita sendirilah yang rela ‘serah tengkuk untuk disembelih.’
Sebagai contoh, dalam money scam, kita sendiri yang mendedahkan maklumat peribadi perbankan kepada scammer tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu dengan pihak yang didakwa diwakili scammer terbabit, mungkin kerana terlalu bimbang dengan keselamatan wang simpanan kita sendiri.
Scammer juga sering menggunakan taktik dengan mengatakan ada bungkusan milik kita yang masih belum dituntut, tapi kita perlu memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan bungkusan tersebut.
Selepas itu, tiba-tiba kita dikatakan ia ada kaitan dengan pengubahan wang haram dan pelbagai taktik lain yang digunakan bagi memperdayakan orang ramai termasuk panggilan daripada pihak mahkamah, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada pihak yang kononnya pegawai berkaitan yang dapat membantu kita.
Justeru, diharapkan orang ramai dapat mula membuka mata, membuka minda masing-masing terhadap taktik-taktik licik penipuan daripada pihak scammer durjana ini termasuklah dalam kategori love scam dan job scam.
Bagi job scam, sudah ramai yang terpedaya terutamanya golongan lepasan sekolah termasuk graduan universiti dengan tawaran-tawaran lumayan daripada pihak scammer yang memang tidak masuk akal.
Sebagai contoh, gaji yang ditawarkan agak tinggi termasuk bekerja di luar negara biarpun tidak ada kemahiran atau kelulusan dan perkara ini telah banyak memerangkap golongan muda di negara ini.
Begitu juga dengan love scam yang sering kali melibatkan kerugian ribuan ringgit dan malah ada yang hingga hilang maruah diri kerana terjerat dengan taktik licik para scammer berkenaan.
Orang ramai perlu sentiasa bijak menilai dari segi logik akal terhadap panggilan daripada scammer ini dan segera putuskan talian jika berasa curiga. Apatah lagi panggilan tersebut meminta kita mendedahkan butir-butir perbankan ataupun kita perlu membuat bayaran terlebih dahulu sebelum mendapat sesuatu yang dijanjikan.
Fikirkan juga dari segi logik mengenai panggilan tersebut kerana sebelum ini memang tidak ada panggilan daripada institusi-institusi perbankan, mahkamah atau yang seumpamanya.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita menoktahkan kegiatan scam di negara ini dengan menggunakan logik akal untuk mengelak daripada menjadi mangsa scammer.
*Shahrizal Ahmad Zaini adalah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!