Hapuskan pengkhianat subsidi, bantu bela nasib rakyat
KRISIS melanda negara melibatkan isu penyelewengan terhadap subsidi kerajaan memberi kesan besar kepada ekonomi terutamanya industri keselamatan makanan seperti beras yang menjadi makanan utama rakyat.
Tindakan tegas perlu diambil segera dalam usaha membendung jenayah tersebut daripada terus membarah menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan penafian hak kepada kumpulan yang sepatutnya menikmatinya.
Jika benar dakwaan wujud kartel beras menjadi punca utama krisis ini, tindakan undang-undang perlu diperkasakan dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada mana-mana pihak atau individu yang terlibat dalam penyelewengan subsidi.
Kadar hukuman seperti denda pada ketika ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada pelaku kerana wang diperoleh hasil kegiatan itu itu lebih banyak berbanding jumlah yang perlu dibayar sekiranya disabitkan kesalahan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan kerajaan untuk mengkaji mengkaji semula hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pihak yang memanipulasi serta melakukan penyelewengan terhadap subsidi kerajaan.
Jelasnya, hukuman itu bagi memberi pengajaran terutama kartel-kartel agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi rakyat sedang tertekan dengan ketiadaan bekalan beras tempatan.
Menurutnya, setakat ini hukuman yang dikenakan ke atas pesalah dan pelaku yang memanipulasi bekalan beras hanyalah berbentuk kompaun dan denda, yang mana mereka mampu untuk melunaskan bayaran tersebut meskipun mencecah RM100,000.
"Hukuman hari ini kalau kita tengok paling tinggi hanya sekadar kompaun, jadi kompaun saya nak bagi tahu kartel dia boleh bayar.
"Kalau kita bagi hukuman contoh kita penjara dan hukuman sebat kepada siapa khianati subsidi negara termasuk mereka yang menipu dan menekan rakyat tentu mereka tidak berani melakukannya," katanya.
Justeru, penelitian semula mengenai hukuman perlu dilakukan segera manakala, bagi pihak penguat kuasa pula disarankan untuk melakukan pemeriksaan lebih kerap terutamanya berkaitan industri keselamatan makanan.
Sekiranya langkah awal diambil dalam membendung kegiatan ini maka, ia dapat menyekat perkara salah daripada terus menjadi kebiasaan selain memastikan tiada ruang untuk kartel berkuasa yang mungkin suatu hari nanti sukar untuk dihapuskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!