Bertahan dengan kos sara hidup semakin meningkat

Pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat depan perlu memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat. - Gambar hiasan
Pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat depan perlu memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat. - Gambar hiasan
A
A
A

KOS kehidupan hari ini semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas yang melambung tinggi.

Kejatuhan nilai ringgit mencecah RM4.71 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) - paras terendah tahun ini - semakin mengeruhkan lagi keadaan.

Keadaan menjadi semakin parah pasca pandemik, di samping aktiviti orang tengah atau kartel yang mengaut keuntungan.

Kebergantungan terhadap barangan import makanan antaranya gandum, bawang dan bijirin membawa kepada keadaan di mana pengguna terpaksa membayar harga lebih mahal bagi mendapatkan barangan diimport tersebut.

Pakar ekonomi, Profesor Emiritus Dr Barjoyai Bardai turut menjangkakan kejatuhan nilai ringgit itu akan memberi kesan kepada harga makanan kerana nilai import makanan yang mencecah RM70 bilion tahun ini.

Harga barang import secara efektif akan menjadi lebih mahal susulan pengimport menaikkan harga kerana mereka perlu membayar import dalam dolar AS.

Rakyat mengharapkan agar kerajaan dapat menangani kenaikan kos sara hidup dalam kerangka yang jelas dan betul dengan pelbagai bentuk bantuan secara langsung dan tidak langsung.

Justeru pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat depan perlu memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat ini.

Artikel Berkaitan:

Biarpun belanjawan kali ini bukanlah penyelesaian tuntas, namun rakyat yakin kerajaan tetap komited mengatasi isu kos sara hidup.

Perdana Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan bertiwikrama atau berusaha sedaya upaya meringankan beban rakyat walaupun setakat ini masih belum kelihatan strategi yang benar-benar ampuh diumumkan.

Langkah atau dasar yang efisyen amat diperlukan bagi memastikan golongan yang terkesan mendapat manfaat secara menyeluruh malah turut membantu menangani beban kos sara hidup rakyat begitu dirasai ketika ini.

Semoga semangat tiwikrama Perdana Menteri untuk menangani masalah rakyat ini dapat direalisasikan.

Pada masa sama, rakyat khususnya golongan rentan perlu bertahan dengan mengubah cara berbelanja untuk meminimumkan beban yang terpaksa dipikul ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!