Mekanik maut langgar lembu melintas

Keadaan motosikal mangsa remuk selepas kemalangan. Foto: Ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa remuk selepas kemalangan. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

JEMPOL- Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggangnya disyaki melanggar sekumpulan lembu yang melintas di Jalan Besar Lui Muda di sini pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian jam 3.45 pagi itu berlaku semasa mangsa, Muhammad Nabil Haikal Hariulnizam, 19, menunggang motosikal jenis Suzuki FU150 seorang diri.

"Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kemayan menghala ke Bahau. Setiba di tempat kejadian, dia dipercayai telah melanggar sekumpulan lembu yang tiba-tiba melintas di laluan mangsa.

"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lui Muda," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Chang Hook berkata, mayat mangsa seterusnya di bawa ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Justeru, saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!