Dua pemburu haram dijel dua tahun, denda RM1.56 juta
KUALA TERENGGANU - Dua pemburu haram warga asing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.56 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memburu dan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran.
Hakim Azman Mustapha terhadap tertuduh yang berasal dari Vietnam, Hoang Van Viet, 29 dan Nguyen Van Thiet, 26, selepas mengaku bersalah 20 pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Azman turut memutuskan Van Viet dan Van Thiet dipenjara selama 16 tahun jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka didakwa menggunakan 22 jerat dan menyimpan 141 organ, kuku dan taring pelbagai binatang liar antaranya kambing gurun, harimau kumbang, tapir, beruang matahari, babi hutan dan kucing tulap di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu kira-kira jam 6.45 pagi pada 15 April lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b), Seksyen 68(2)(c), Seksyen 68(1)(b) dan Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohd Khairul Mubin Ab Satar, Abd Aziz Mohd Yasin dan Khadijah Mat Amin.
Sebelum ini, media melaporkan Perhilitan menumpaskan sindiket pemburuan haram melalui penangkapan dua warga Vietnam di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu membabitkan nilai rampasan kira-kira RM600,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!