Dua warga emas maut, pacuan empat roda langgar belakang lori

Keadaan pacuan empat roda dinaiki kedua-dua mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto: ihsan Bomba Perak
Keadaan pacuan empat roda dinaiki kedua-dua mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto: ihsan Bomba Perak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Dua warga emas maut selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori muatan amang di Kilometer 365, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Pang Ah Kau, 76, dan Lau Hock Hing, 83, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani berkata, sepasukan 11 anggota diatur gerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.42 pagi.

"Setibanya di lokasi, kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa didapati terperosok di bahagian belakang lori menyebabkan mereka tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

"Pasukan meneruskan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas menyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu dan operasi tamat pada jam 7.05 pagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!