Bayi lapan bulan maut tertinggal 10 jam dalam kereta
KUALA LUMPUR - Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan lebih 10 jam di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kenderaan di sebuah hospital di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa berumur lingkungan 30-an itu bertugas sebagai doktor di hospital tersebut.
Menurut beliau, wanita berkenaan meletakkan mangsa di bahagian penumpang belakang sebelah kiri untuk dihantar ke taska kira-kira jam 7.20 pagi.
"Ibu mangsa bagaimanapun terus memandu keretanya itu ke tempat kerja dengan beranggapan mangsa telah dihantar ke taska.
"Kejadian disedari ibu mangsa apabila mangsa didapati berada di kereta ketika petang selepas dimaklumkan suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan mendapati pegawai perubatan hospital berkenaan menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan meninggal dunia akibat kejadian.
"Polis akan merakam keterangan ibu mangsa berkaitan kejadian," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!