Usah semberono tafsir ayat al-Quran

Umpama menempah tempat dalam neraka jika sewenang-wenangnya mentafsir kalam Ilahi, hanya bersandar akal yang tidak dibimbing wahyu

AL-QURAN yang sarat dengan hukum-hakam dan iktibar menjadi panduan kepada umat Islam untuk melayari kehidupan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
AL-QURAN yang sarat dengan hukum-hakam dan iktibar menjadi panduan kepada umat Islam untuk melayari kehidupan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
A
A
A

LEBIH seminggu lalu, isu berkaitan tafsir al-Quran berlegar-legar dalam radar isu semasa. Semuanya gara-gara tindakan seorang pemimpin bukan Islam yang memetik sepotong ayat daripada kitab suci umat Islam.

Sinar Islam Plus tidak berhasrat untuk mengulas lanjut tentang isu politik ataupun kritikan ramai terhadapnya. Tambahan pula, empunya diri pun sudah meminta maaf dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Di sebalik polemik tersebut, terselit sesuatu yang membuatkan orang kembali sedar. Ya, kita tidak boleh mentafsir al-Quran secara semberono.

Apatah lagi ia melibatkan kalam ALLAH yang mulia. Malah, turut menjadi manual kehidupan ummah sehingga hari kiamat kelak.

Pendakwah Ustaz Muhammad James Baven berkata, isu menjelaskan al-Quran dengan cara pentafsiran yang salah tidak sepatutnya berlaku.

USTAZ MUHAMMAD
USTAZ MUHAMMAD

Beliau berkata, tidak kiralah sama ada ia datangnya daripada Muslim ataupun bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Orang bukan Islam tidak sepatutnya menyentuh isu sensitiviti agama lain sebagaimana Islam melarang umatnya mempersenda atau menghina sembahan agama lain.

“Begitu juga bagi golongan Muslim. Andai mereka jahil sekalipun, tidak sewajarnya mentafsir al-Quran mengikut akal yang tidak dibimbing oleh wahyu.

“Mengertilah, al-Quran ditafsirkan oleh hadis menurut kitab-kitab tafsir muktabar,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Tafsir muktabar

Ustaz Muhammad yang juga Panel Istitabah Jabatan Mufti Negeri Perak kemudian menjelaskan tentang pembelajaran tafsir al-Quran di institusi pendidikan agama.

Beliau yang begitu dekat dengan pusat tahfiz dan al-Quran berkata, proses pembelajaran tafsir al-Quran di madrasah-madrasah hanya bermula selepas pelajar berupaya menguasai bacaan kalamullah dan tajwid dengan baik.

TIDAK boleh sewenang-wenangnya mentafsir al-Quran mengikut selera sendiri. -Foto: 123rf
TIDAK boleh sewenang-wenangnya mentafsir al-Quran mengikut selera sendiri. -Foto: 123rf

Kitab yang digunakan juga sangat muktabar dan bukan sembarangan buku, ungkapnya.

“Misalnya, di Madrasah Ashabus Suffah Ummi Hasanah (ASUH), kami menggunakan kitab Tafsir Jalalain dan Tafsir Al-Quran Al-Azim/ Ibnu Kathir sebagai rujukan utama,” katanya.

Kepada satu soalan, Pengerusi Madrasah ASUH Perak dan Johor itu menjawab: “Dalam Islam, ada tafsir dengan pandangan ulama yang dinamakan Tafsir Bir- Ra’yi.

“Ia sebagaimana kitab Tafsir Fi Zilalil Quran oleh al-Imam Syed Qutub Rahimahullah.

“Namun begitu, kemampuan tafsir itu selayaknya pada seorang ulama muktabar. Ini kerana tafsir daripada pandangan ulama yang tetap bersandarkan kepada al-Quran dan hadis.

“Ia berbeza dengan tafsir orang awam yang jahil dalam ilmu tafsir atau usul tafsir walaupun betul tafsirannya.”

Undang kesesatan

Lantaran itu, Ustaz Muhammad mengingatkan agar umat Islam mahupun sesiapa pun agar tidak mentafsirkan al-Quran mengikut telahan atau selera sendiri.

Ketahuilah bahawa perbuatan seperti itu mendatangkan impak yang begitu besar kepada ummah iaitu kesesatan!

“Lebih-lebih lagi terhadap orang awam yang tidak mahir dengan al-Quran,” ungkapnya.

Betapa pentingnya perkara itu sehinggakan Rasulullah SAW memberi peringatan dan ancaman terhadap kelompok yang melakukannya.

RASULULLAH SAW memberi peringatan bahawa neraka menjadi tempat yang akan dihuni oleh yang membuat tafsiran sendiri terhadap kalam ALLAH melainkan jika dirinya bertaubat. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
RASULULLAH SAW memberi peringatan bahawa neraka menjadi tempat yang akan dihuni oleh yang membuat tafsiran sendiri terhadap kalam ALLAH melainkan jika dirinya bertaubat. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka neraka tempat yang lebih utama baginya.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan an-Nasa’i)

Melihat kepada ungkapan berkenaan, agamawan tersebut menjelaskan, neraka menjadi tempat dihuni oleh mereka yang membuat tafsiran sendiri terhadap kalam ALLAH.

“Apakah ada tempat lain yang lebih layak bagi orang yang menyesatkan umat ini selain neraka?

“Ia melainkan mereka bertaubat kepada ALLAH SWT,” terangnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Muhammad mengajak kita untuk merenung bait mutiara Imam Hasan al-Basri dalam kitab al-Ibanah yang dinukilkan Ibnu Battah al-Ukbari.

Kata Imam Hasan al-Basri: “Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan pendapatnya sendiri (tanpa ilmu) jika benar sekalipun tafsirnya itu, maka tiada pahala baginya, dan jika salah tafsirnya itu, akan dipadamkan cahaya ayat al-Quran itu dari hatinya.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!