MTPN cadang kerajaan wujudkan kedai Jualan Rahmah
Setiausaha Agung Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Masrudi Abdul Rahman berkata, ini kerana tidak semua dapat membeli beras dan barang keperluan menerusi program Jualan Rahmah yang diadakan selama tiga atau empat hari sahaja dalam sebulan.
"Bukan semua orang berkesempatan pergi ke program Jualan Rahmah. Sebaiknya kerajaan atau kementerian terbabit buka satu kedai Jualan Rahmah di satu tempat strategik atau tempat tumpuan awam.
"Kedai Jualan Rahmah yang dimaksudkan ini bila-bila masa boleh pergi dan bukan tertumpu pada waktu tertentu sahaja. Bagi memastikan kelangsungan kedai Jualan Rahmah ini perlu pastikan juga stok dan kemampuan.
"Peniaga yang terlibat dengan Jualan Rahmah sebelum ini juga boleh bekerjasama," katanya kepada pemberita selepas Kempen Bazar Amal dan Kempen Derma Darah di pusat beli belah AEON Mall Kulaijaya di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Johor, Enny Suhailis Suleiman; Yang Dipertua MTPN Johor, Noorman Kamsani dan Presiden kebangsaan Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia (YMLM), Dany Teh Thiam Fatt.
Beliau mengulas keberkesanan program Jualan Rahmah terutama yang diadakan di negeri ini dalam menangani masalah bekalan beras, minya masak, telur ayam dan gula terutama di Pasir Gudang.
Mengulas lanjut, Masrudi tidak menafikan program Jualan Rahmah sedikit sebanyak membantu rakyat tetapi perlu ada jalan penyelesaian lain selain melaksanakan program penyelesaian jangka panjang dengan menanam padi.
Sementara itu, Noorman berkata, sampai bila kerajaan perlu bergantung dengan Jualan Rahmah kerana tidak diadakan setiap hari.
"Kita lihat orang ramai sanggup beratur panjang dalam program Jualan Rahmah bukan kerana harganya murah tetapi terpaksa kerana mahu dapatkan beras dan tambahan pula pembelian terhad, bukan selalu ada program ini. Kena cari jalan lain," katanya.
Terdahulu ketika berucap, Enny Suhailis berkata, dalam keadaan ekonomi tidak bagus ketika ini dengan peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, ramai golongan T20 dan M40 sudah mula mencari pendapatan sampingan.
Katanya, perkembangan itu dapat dilihat sejak pandemik Coivd-19 melanda dan kini golongan berkenaan semakin berkembang.
"Mereka terpaksa menstruktur semula perbelanjaan keluarga kerana harga barang yang naik. Pihak swasta dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) wajar turut memberi perhatian dan bantuan kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!