Malaysia catat kemajuan peralihan tenaga - PM

Anwar (lima dari kiri) berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis. - Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar (lima dari kiri) berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis. - Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

ABU DHABI - Malaysia telah mencatat kemajuan dalam usaha peralihan tenaga selain bertindak memudahcara aspek menjalankan perniagaan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini pada Khamis, beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan dasar lebih baik serta jelas berkaitan aspek tenaga boleh baharu (TBB) dan kemajuan teknologi.

Malah, Perdana Menteri berkata, Malaysia muncul antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang menggerakkan usaha TBB dengan Sarawak sebagai hab tenaga utama dan membekalkan tenaga kepada ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.

Pada masa sama, Malaysia turut terbabit dalam perdagangan tenaga rentas sempadan pertama di rantau Asean di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura untuk mengukuhkan Grid Tenaga Asean.

"Kapasitinya sebegitu besar berikutan pelaburan baharu yang bergantung kepada grid dan tenaga boleh baharu ini,” kata beliau yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke UAE mulai semalam.

Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menyakinkan pemimpin industri itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara mesra perniagaan, termasuk langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

"NIMP membentangkan hala tuju jelas mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan kejelasan sedemikian adalah wajar untuk kemudahan menjalankan perniagaan. Ini penting bagi memastikan kita kekal kompetitif,” kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia merupakan peneraju dari segi teknologi baharu dalam industri mikrocip serta semikonduktor membabitkan kalangan negara-negara sedang pesat membangun.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk langkah pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, Infineon Technologies AG membuat pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar dunia di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkongsi rasa optimis bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian ekonomi yang mantap sepertimana pada 90-an, bersama-sama dengan negara-negara Asean.

"Ini bermakna, kita perlu melakukan apa yang sewajarnya untuk berdaya saing agar ekonomi dan rakyat kita mendapat manfaat daripada dasar serta inisiatif berkenaan.

"Apabila ke Malaysia, anda boleh saksikan sendiri perubahan berbanding pada lima, tiga atau dua tahun lepas.

"Saya juga ingin tegaskan satu perkara -- keadaan sekarang jauh lebih baik serta mudah untuk menjalankan perniagaan kerana wujudnya keazaman lebih jelas dan kepimpinan yang efektif bagi memastikan kita dapat berfungsi berkesan,” kata beliau.

Hadir sama pada sesi itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Luar UAE Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi.

-- BERNAMA

TAG: Anwar, UAE, peralihan tenaga, dasar, pemimpin industri, lawatan kerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!