Penduduk bantah padang golf dibangunkan projek perumahan

Zien (lima dari kiri) bersama wakil penduduk hadir menyerahkan surat bantahan cadangan pemaju yang mahu membangunkan projek perumahan di padang golf Bukit Jelutong.
Zien (lima dari kiri) bersama wakil penduduk hadir menyerahkan surat bantahan cadangan pemaju yang mahu membangunkan projek perumahan di padang golf Bukit Jelutong.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penduduk Taman Bukit Jelutong (BJRA) membantah hasrat pemaju untuk memajukan tanah golf di kawasan itu dengan projek perumahan.

Pengerusinya, Zien Hashim berkata, walaupun tanah itu milik pemaju swasta, namun kawasan hijau itu mempunyai syarat nyata sebagai padang golf.

Menurutnya, kebanyakan pembeli terdahulu membeli unit di kawasan itu disebabkan kemudahan padang golf berkenaan yang menjadi lokasi riadah dan kelestarian alam.

"Masa beli rumah ini 20 tahun lalu dalam iklan ada disebutkan berdensiti rendah, kemudahan padang golf dan kawasan hijau antara faktor penduduk beli rumah di sini.

"Ada penduduk yang berpindah dari kawasan sesak seperti Damansara dan Subang Jaya ke Bukit Jelutong kerana ingin mendapatkan tempat yang lebih tenang.

"Bukit Jelutong juga pernah mendapat pengiktirafan bandar berprestij di Selangor. Jika projek ini diteruskan maka Bukit Jelutong tiada beza dengan bandar-bandar lain," katanya selepas menghantar bantahan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Jumaat.

Surat bantahan tersebut diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor selain Pejabat Datuk Bandar Shah Alam, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Zien mendakwa, pemaju telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi proses mengubah syarat nyata padang golf.

Artikel Berkaitan:

"MBSA bagaimanapun membuat proses ini tanpa pemakluman yang berasas serta telah melakukan proses tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"MBSA yang tidak menerima sebarang bantahan daripada penduduk Bukit Jelutong telah mengubah 'zoning' tanah tersebut kepada perumahan dan diwartakan tanpa pengetahuan kami," dakwanya lagi.

Sehubungan itu katanya, BJRA berharap projek tersebut tidak diteruskan supaya tanah berkenaan kekal berstatus hijau untuk lokasi beriadah dan bersukan.

"Jika projek diteruskan, kawasan ini akan menghadapi masalah trafik keluar masuk ke Bukit Jelutong dan penggunaan jalan ini oleh kenderaan luar adalah serius ketika ini.

"Masalah banjir yang sentiasa berlaku di sekitar kawasan ini, sedangkan padang golf ini merupakan tempat penyerapan air yang amat diperlukan dalam perubahan cuaca yang mendadak kini," katanya.

Katanya, BJRA telah mengumpulkan lebih 2,000 petisyen bertulis membantah kemusnahan kawasan tersebut.

"Pemusnahan kawasan riadah tidak selari dengan konsep kelestarian yang diuar-uarkan pemaju. Kami khuatir pemaju lain akan menggunakan modus operandi pembangunan berfasa bagi mengaut keuntungan.

"Pihak kami akan terus membantah hal ini sehingga sampai ke peringkat tertinggi kerajaan negeri supaya padang golf ini kukuh di atas syarat nyata hartanah kerana cadangan kemajuan ini hanya akan menambah pelbagai masalah kepada penduduk Bukit Jelutong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!