Wajar kompaun pemilik kenderaan halang laluan - Exco
ISKANDAR PUTERI - Kompaun yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap pemilik yang meletakkan kenderaan di luar pagar sebagaimana yang tular baru-baru ini, disifatkan wajar kerana dibuat berdasarkan aduan awam.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kompaun dikeluarkan berdasarkan peruntukan undang-undang PBT selepas mengambil kira semua faktor dan pertimbangan yang dibuat.
"Undang-undang ini bukan sahaja terpakai di Majlis Bandaraya Pasir Gudang ( MBPG) tetapi juga 16 PBT lain di Johor. Tindakan kompaun ini dikenakan selepas mengambil kira semua faktor termasuk aduan awam.
"Dalam kes pemilik kenderaan yang dikenakan kompaun ini, sebenarnya nasihat sudah diberikan sebanyak tiga kali namun masih melakukan kesalahan yang sama," katanya ketika ditemui di Kota Iskandar.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata MBPG merekodkan peningkatan aduan menghalang laluan awam sejak tahun lalu.
"Aduan tentang halangan laluan awam atau kesalahan letak kenderaan di hadapan rumah jiran yang diterima MBPG meningkat. Pada tahun 2022, aduan diterima sebanyak 242. Bermula awal tahun sehingga September 349 aduan telah diterima.
"Secara purata antara 40 hingga 50 aduan diterima setiap bulan. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan dikenakan mengambil kira peningkatan aduan dan siasatan yang dibuat," katanya.
Mohd Jafni menjelaskan setelah penerangan diberikan, banyak maklum balas diterima termasuk mengalu-alukan tindakan tersebut.
"Kompaun yang dikenakan disifatkan wajar, malah ramai yang memberi respons positif kerana berpandangan banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan yang tidak sepatutnya sehingga menghalang lalu lintas," ujarnya.
Pada Rabu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi orang ramai serta kepimpinan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!