Isteri pikul tugas ketua keluarga selepas suami hidap barah usus
ALOR SETAR - Seorang bekas operator kilang, dekat sini tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas disahkan mengidap barah usus tahap tiga sejak Ogos tahun lalu.
Mohamad Idris Md Desa, 46, berkata, kini tugas mencari rezeki terpaksa dipikul isterinya, Rafidah Abd Rahim, 36, termasuk membantu membawanya ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, barah kanser yang dihidapinya itu dikesan semasa Rafidah sedang hamil anak ketiga mereka dan terpaksa mengharapkan isterinya untuk memandu kereta bagi mendapatkan rawatan di hospital.
"Saya sebak bila tengok isteri menguruskan tiga anak kami dan ditinggalkan kepada ibunya, Che Tom Darus, 70, untuk menjaga mereka semasa saya mendapatkan rawatan," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di Jalan Teluk Kumbar, dekat sini baru-baru ini.
Mohamad Idris yang bekerja sebagai operator kilang selama 20 tahun itu telah menjalani beberapa pembedahan dan kini baharu sahaja selesai menjalani kimoterapi serta dijadualkan bertemu pakar pada 20 November depan.
Sementara itu, Rafidah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan juga terpaksa berhenti kerja bagi menguruskan suami dan anak-anak mereka berusia satu hingga 12 tahun.
Menurut Rafidah, sokongan kedua ibu bapanya yang turut sama-sama menjaga tiga anaknya memberikan sedikit kelegaan semasa suaminya menerima rawatan di Pulau Pinang.
"Semasa suami mendapatkan rawatan di HPP, kami tinggal di sana dua bulan dengan menyewa rumah. Waktu itu saya sedang mengandung lima bulan dan saya juga turut membuat pemeriksaan kandungan di sana.
"Sebelum ini kami tinggal berdua dan selepas itu ayah datang membantu dan menemani kami di sana," ujarnya yang kini mengambil upah memasak dan memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan.
Tambahnya, bantuan wang bulanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang baharu sahaja diterima beberapa bulan lalu sedikit sebanyak dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Sementara itu, Zuraini Kamal ketika ditemui berkata, CSM turut menyampaikan beg stoma bagi keperluan Mohamad Idris untuk meringankan kewangan keluarga tersebut.
"Kita bagi sedikit sumbangan untuk ringankan beban. CSM tidak mampu untuk menyelesaikan semua beban yang dihadapi keluarga ini, tapi mengharapkan kehadiran dapat memberikan motivasi agar meneruskan rawatan dengan cara betul. Dengan izin ALLAH SWT penyakit boleh sembuh," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menghubungi 0125899978 atau menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB 7046382026 (Mohamad Idris Md Desa).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!