Malaysia uji Thailand di final sepak takraw antara regu

Skuad takraw Malaysia mengalahkan Filipina 2-0 dalam aksi separuh akhir acara regu Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Jumaat. - Foto FB PSM
Skuad takraw Malaysia mengalahkan Filipina 2-0 dalam aksi separuh akhir acara regu Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Jumaat. - Foto FB PSM
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand dalam misi mempertahankan pingat emas acara regu Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Sabtu.

Kejayaan tersebut diraih setelah skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu membenam Filipina 2-0 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua sebentar tadi.

Selepas mengungguli Kumpulan A pada Khamis, skuad sepak takraw negara boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu bertemu skuad Gajah Perang dalam saingan separuh akhir.

Malaysia mempertaruhkan trio Syahir Rosdi sebagai tekong dengan Amirul Zazwan Amir dan Azlan Alias masing-masing bertindak sebagai apit kiri serta perejam.

Set pertama menyaksikan Filipina memberi tentangan sengit menerusi trio Ronsited Gabayeron sebagai tekong, Rheyjey Ortouste beraksi sebagai pengumpan dan Jason Huerte berperanan selaku apit kanan.

Begitupun, trio negara yang amat dikenali peminat Sepak Takraw League (STL) itu kekal tenang dan berjaya menguasai set pertama dengan keputusan 21-15.

Beraksi pada set kedua, regu negara mengekalkan penguasaan biarpun Filipina dilihat cuba bangkit melawan.

Pengalaman akhirnya memisahkan keupayaan regu Filipina apabila terpaksa akur kehebatan trio Malaysia yang mengesahkan kemenangan 21-11.

Artikel Berkaitan:

Edisi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menyaksikan regu negara dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) mengakhiri kemarau emas 24 tahun selepas menjinakkan Indonesia 2-1 dalam aksi final.

Sebagai rekod, regu negara sebelum ini memenangi pingat emas acara itu dua kali - Sukan Asia Beijing 1990, China dan edisi Hiroshima 1994, Jepun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!