Bapa kerja pelantar minyak sempat hadir pengebumian anak

Jenazah Allahyarham Ahmad Osama Ramadhan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Mentok di Kemaman, Terengganu.
Jenazah Allahyarham Ahmad Osama Ramadhan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Mentok di Kemaman, Terengganu.
A
A
A

KEMAMAN - Bapa kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan enam buah motosikal sempat tiba untuk menghadiri urusan pengebumian anaknya pada petang Jumaat.

Difahamkan, Laidin Rahim, 59, yang bekerja di pelantar minyak sempadan Malaysia-Thailand tiba kira-kira jam 2.15 petang tadi untuk pengebumian anak bongsu dari enam beradik, Allahyarham Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17.

Menurut abang mangsa yang hanya dikenali sebagai Aliff, mereka berhasrat untuk menunggu kepulangan bapanya sebelum adiknya dikebumikan.

"Arwah adik saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Mentok di sini sekitar lepas Jumaat tadi.

"Kami bersyukur sebab ayah sempat pulang untuk hadir ke urusan pengebumian ini. Ayah sampai ketika kami sedang bersedia untuk solatkan jenazah adik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Jumaat.

Ibu Allahyarham Ahmad Osama Ramadhan, Che Meriah Che Endut, 56 sebelum ini membuat keputusan untuk menunggu kepulangan suaminya itu supaya sempat melihat jenazah anak bongsu mereka buat kali terakhir.

Terdahulu, tiga lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan maut membabitkan enam buah motosikal di Kilometer 333.1, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), arah Kuantan dekat susur keluar Paka, tengah malam Khamis.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu menyebabkan tiga lelaki maut iaitu Muhammad Fitri Hanif Rohami,18; Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20, dan Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Muhammad Fitri Hanif dan Ahmad Osama Ramadhan masing-masing menunggang motosikal jenis RXZ sementara Muhammad Shah Run Nizam menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

Selain itu, tiga lagi penunggang motosikal terlibat ialah Muhammad Afiq Kamal,19, yang mengalami cedera parah pada bahagian kaki kanan; Muhammad Firzani Hilman Ariffadhillah, 20, cedera di bahagian belakang, kaki dan tangan sementara Muhammad Haziq Haikal Ismail,17, mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang pemuda dari arah Paka ke Kemaman dilanggar oleh sebuah motosikal di bahagian belakang yang menyebabkan motosikalnya terbalik di atas jalan.

Katanya, rentetan insiden itu, sekumpulan motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai cuba mengelak sebelum berlaku pelanggaran antara satu sama lain.

Beliau berkata, pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikuti Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.