Sukan Asia: Speedy Tigers tamat saingan di tempat keenam

Skuad hoki lelaki negara mengakhiri kempen Sukan Asia 2022 Hangzhou di tempat keenam selepas ditundukkan Pakistan 2-5 pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam pada Jumaat.
Skuad hoki lelaki negara mengakhiri kempen Sukan Asia 2022 Hangzhou di tempat keenam selepas ditundukkan Pakistan 2-5 pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam pada Jumaat.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD hoki lelaki negara mengakhiri kempen Sukan Asia 2022 Hangzhou di tempat keenam selepas ditundukkan Pakistan 2-5 pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam pada Jumaat.

Pada aksi berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park, anak buah Arul Selvaraj menduduki ranking ke-10 dunia, berjaya memperolehi gol pendahuluan menerusi jaringan pemain pertahanan Muhammad Aminuddin Mohd Zain yang memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit kelima.

Gol pendahuluan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama apabila Pakistan bangkit menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi jaringan pukulan sudut penalti Ahmad Arbaz.

Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, buntu dalam menambah jaringan pada suku kedua perlawanan.

Memasuki suku ketiga perlawanan, Pakistan meningkatkan tempo permainan sekali gus berhasil meletakkan pasukan itu di depan apabila Abdul Rehman meledak jaringan padang pada minit ke-37.

Suku terakhir perlawanan, jaringan padang Abdul Rana pada minit ke-51 disusuli jaringan pukulan sudut penalti Ammad Muhammad pada minit ke-53 ‘menambah garam pada luka’ skuad Speedy Tigers.

Di minit-minit terakhir perlawanan, Malaysia akhirnya berhasil menyumbat satu lagi gol berpunca pukulan sudut penalti yang disudahkan Muhammad Razie Abd Rahim diselangi gol kelima Pakistan menerusi jaringan padang Afraz.

Malaysia akan memburu slot Sukan Olimplik Paris 2024 pada pusingan kelayakan di Muscat, Oman, dari 15 hingga 21 Jan depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Arul berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi hambar Speedy Tigers pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Beliau mengakui kecewa dengan prestasi serta keputusan yang ditonjolkan anak buahnya.

"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya bersama skuad Speedy Tigers tanpa menyalahkan mana-mana pihak apabila sudah diberi pelbagai bentuk sokongan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Kecewa dengan persembahan kita sebab harapan memang tinggi sebab selama dua tahun ini memang nampak meningkat dengan keputusan di Piala Sultan Azlan Shah dan sebagainya.

"Kita juga melonjak ke tangga kesembilan (dunia) dan memang nampak kemampuan (Speedy Tigers) tapi di sini (Sukan Asia Hangzhou 2022) hanya kekecewaan," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada pemberita, hari ini.

Katanya, pihaknya akan mengadakan satu sesi pascanilai lengkap bagi memastikan skuad itu kembali semula dengan permainan lebih 'berbisa' di pusingan kelayakan Sukan Olimplik Paris 2024 Januari depan.

Malaysia mempunyai peluang terakhir layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada pusingan kelayakan di Muscat, Oman, dari 15 hingga 21 Januari depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!