Rumah terbakar: Dua beradik OKU hilang tempat berteduh

Keadaan rumah didiami Azhar dan Azrin yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor pada Rabu. Gambar kecil: Salbiah
Keadaan rumah didiami Azhar dan Azrin yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor pada Rabu. Gambar kecil: Salbiah
A
A
A

IPOH - Dua beradik orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami merekaterbakar dalam kejadian di Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor dekat sini pada Rabu.

Disebabkan musibah itu, Azhar Abdul Razak, 47, dan Azrin, 43, kini terpaksa menumpang di rumah bapa saudara mereka di kampung berkenaan.

Azhar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang itu terlalu pantas sehingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting termasuklah duit, kad pengenalan dan kad OKU.

"Ketika itu saya sedang mengecas telefon bimbit, tiba-tiba api datang dari arah bilik dan saya terus meluru keluar menyelamatkan diri. Mujurlah adik saya sudah keluar rumah ketika itu.

"Memang saya tak sempat nak selamatkan apa-apa. Paling sedih tengok basikal yang saya guna setiap hari pergi kerja hangus terbakar," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, ibu saudara dua beradik itu, Salbiah Tan, 64, berkata, buat sementara waktu mangsa tinggal bersamanya kerana belum ada tempat tinggal yang sesuai.

Menurut Salbiah, anak saudaranya itu tidak mempunyai adik beradik yang lain malah ibu bapa mereka juga telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa pihak sudah menghulurkan bantuan sama ada berbentuk pemberian wang tunai serta barang-barang keperluan lain seperti selimut, pakaian, kotak makanan dan sebagainya.

Bagaimanapun Salbiah mengakui dia tidak mampu untuk menguruskan kedua-dua beradik OKU yang lembam dan bisu itu kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan begitu juga suaminya, Rozlan Zainal, 67, disebabkan faktor usia.

"Mereka ini anak yang baik tetapi tidak mampu untuk menguruskan diri seperti orang lain. Walaupun mereka berdua bekerja di pekan Chemor mengambil upah membantu peniaga di pasar harian, ada perkara lain mereka tak boleh buat.

"Saya sebenarnya berharap ada pihak yang sudi membawa dua beradik ini tinggal di pusat-pusat jagaan kurang upaya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku. Mereka tidak boleh berpisah kerana saling memerlukan antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun turut menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran tersebut bagi meringankan beban.

Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohammad Hairul Amir Sabri berkata, pihaknya juga sedang membantu menyediakan tempat tinggal sementara kepada dua beradik tersebut.

Menurutnya, usaha juga dilakukan untuk membina rumah baharu di atas tapak asal rumah yang terbakar namun memakan sedikit masa bagi menyiapkannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!