Bantah bina pemancar telekomunikasi
IPOH - Hampir 50 penduduk Taman Pusat Bercham serta kawasan berhampiran mengadakan perhimpunan bagi membantah pembinaan pemancar telekomunikasi berhampiran rumah mereka.
Bagi salah seorang penduduk, Alina Abdul Rahman, 70, berkata, dia tidak menyangka projek ini diteruskan kerana sebelum ini telah dibatalkan oleh Kerajaan Perak bersama pihak Majlis Bandaraya Ipoh pada 2009.
"Ketika itu, kami semua membuat bantahan dan Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Exco pada masa itu bersama Datuk Bandar Ipoh datang mengatakan projek berkenaan tidak diteruskan.
"Tetapi dua minggu lalu, kami lihat jentera berat masuk ke kawasan taman ini dan memulakan kerja-kerja membina pemancar telekomunikasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman membantah pembinaan pemancar terbabit, di sini hari ini.
Katanya lagi, ketika kerja-kerja pembinaan mahu dimulakan di kawasan terbabit, penduduk taman menghalau kontraktor tersebut dan mereka meninggalkan lokasi berkenaan.
"Tetapi sejak beberapa hari lalu mereka datang dan kali ini tidak hiraukan kami dan memulakan kerja-kerja membina pemancar telekomunikasi terbabit tanpa mengambil kira soal keselamatan kami.
"Apa yang menjadi kembimbangan kami adalah kesan radiasi sekiranya pemancar berkenaan dipasang kerana ia benar-benar berhampiran dengan kediaman, sudah pasti kami tidak mahu kesihatan kami terganggu," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Low Guo Nan berkata, pihaknya ada menerima aduan dari penduduk sekitar Taman Pusat Bercham bahawa terdapat pemancar telekomunikasi dipasang di atas bumbung kedai di Hala Tasek Timur 1, taman berkenaan.
"Pembinaan pemancar telekomunikasi tersebut pernah dihentikan pada 2009 dan 2015 selepas penduduk membuat bantahan.
"Tetapi kini penduduk terkejut dengan pembinaan semula pemancar telekomunikasi di lokasi sama sekali lagi selepas empat tahun serta pemilik memberitahu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Menurut Guo Nan lagi, penduduk taman tersebut turut memaklumkan kepadanya bahawa mereka pernah berjumpa dengan ADUN Bercham, Ong Boon Piow mengadu perkara tersebut namun memaklumkan dia tidak boleh campur tangan.
"Sebagai seorang yang berhormat (YB), dia tidak boleh berdiam diri dan tidak membantu penduduk menyelesaikan masalah besar sebegini.
"Saya minta beliau untuk campur tangan dalam perkara ini serta melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!