'Baiki motosikal sebab tak sanggup tengok adik susah ke sekolah' - Ibu

Radhiah (tengah) ketika membuat pengecaman mayat anaknya di Bilik Forensik Hospital Dungun pada Jumaat.
Radhiah (tengah) ketika membuat pengecaman mayat anaknya di Bilik Forensik Hospital Dungun pada Jumaat.
A
A
A

DUNGUN - Mangsa kemalangan maut melibatkan enam buah motosikal sebelum ini pernah merayu kepada ibunya untuk membaiki motosikal jenis Yamaha RXZ miliknya yang mengalami kerosakan selepas terlibat kemalangan kecil.

Ibunya, Radhiah Mohd Kasim, 43, berkata, arwah anaknya, Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20, berbuat demikian kerana tidak sanggup meminjam sebuah lagi motosikal milik adiknya untuk berulang-alik ke tempat kerja di Kertih, Kemaman.

"Saya dah minta dia supaya tidak baiki lagi motosikal tu sebab dah dua kali kemalangan namun dia merayu untuk baiki juga untuk memudahkan adik-adik dia ke sekolah, " katanya.

Menurut Radhiah, pada mulanya di menyangka anaknya itu hanya ditimpa kemalangan kecil sebaliknya lain pula yang berlaku.

"Saya tak pasti keadaan sebenar dia macam mana masa kejadian tu sehinggalah dapat panggilan memberitahu dia terlibat kemalangan tengah malam tadi.

"Saya ingat kemalangan kecil, tak sangka kali ini sehingga meragut nyawa," ujarnya yang kematian suami tiga tahun lalu.

Muhammad Shah Run Nizam maut dalam kemalangan di Kilometer 333.1, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), arah Kuantan dekat Susur Keluar Paka, dalam kejadian pada malam Khamis.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam itu turut mengorbankan dua lagi penunggang motosikal iaitu Muhammad Fitri Hanif Rohami, 18, dan Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu bapa kepada Muhammad Fitri, Rohami Ismail, 53, berkata, dia tidak menyangka rasa tidak sedap hati membawa kepada kejadian buruk menimpa anaknya itu.

"Dia minta izin untuk keluar makan nasi lemak di Hentian Rawat&Rehat (R&R) Paka bersama rakan-rakannya.

"Selepas saya izin dia keluar dari rumah, sejam selepas tu dalam 10.20 malam tiba-tiba saya rasa tidak sedap hati. Saya telefon dia, dia cakap baru lepas makan dan nak balik rumah.

"Tak lama lepas itu saya terima panggilan beritahu dia dan dua lagi mangsa terlibat kemalangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!