PRK Pelangai: Haslihelmy bawa manifesto 'Rakyat adalah majikan saya'

Haslihelmy. Gambar kanan: Enam teras utama yang ditawarkan Haslihelmy dalam PRK DUN Pelangai
Haslihelmy. Gambar kanan: Enam teras utama yang ditawarkan Haslihelmy dalam PRK DUN Pelangai
A
A
A

BENTONG - Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli menggariskan enam teras utama dalam manifesto yang dikemukakannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Manifesto ‘Rakyat Adalah Majikan Saya' itu merangkumi infrastruktur awam, ekonomi, pendidikan, pembangunan masyarakat, memajukan bidang pertanian dan penternakan dan kebajikan serta kesihatan awam.

Haslihelmy berkata, tawaran menifesto itu bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat di Pelangai yang kurang daripada sudut pembangunannya.

"Ini fokus saya kerana Pelangai jauh ketinggalan dari kawasan lain, jadi jangan fikir empat tahun mendatang. Tapi, fikirkan 40 tahun sudah Barisan Nasional (BN) memerintah Pelangai yang retorik semata-mata.

"Walaupun saya tidak mempunyai parti, saya hanyalah orang kecik, mereka semua orang yang besar, tapi yakin lah saya mampu menggalasnya. Saya tidak akan menjadikan rakyat sebagai eksperimen politik dan nafsu," katanya pada Jumaat.

Beliau yang menggunakan logo kereta pada PRK kali ini, merancang untuk menaiktaraf infrastruktur awam yang sedia ada di kawasan Pelangai.

"Kalau kita lihat di Pelangai ini tiada pasar raya, jadi perlu diwujudkan satu bagi memudahkan penduduk di sini, selain itu hentian bas, kemudahan sukan juga perlu ditambah baik.

"Ini semua antara keperluan yang saya akan beri keutamaan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada Sabtu ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu memberitahu teras kedua dan ketiga pula memberi fokus untuk meningkatkan ekonomi setempat, mewujudkan intitusi latihan serta kemahiran.

Seterusnya, beliau merancang membina masyarakat makmur aman dan teguh di kawasan Pelangai menerusi program kemasyarakatan.

"Teras ke lima ialah megembangkan dan memajukan bidang ternakan dan pertanian di kawasan DUN Pelangai dan yang terakhir, bantuan kebajikan serta kesihatan awam secara sistematik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!