Penduduk lega isu penempatan pekerja warga asing selesai
IPOH - Isu penempatan 164 pekerja asing yang meresahkan penduduk pangsapuri mampu milik, D'Aman Residensi, Meru Raya dekat sini berjaya diselesaikan apabila syarikat pengurusan penginapan bersedia memindahkan pekerja mereka secara berperingkat.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, persetujuan itu dicapai hasil kerjasama yang dijalankan bersama penduduk yang diwakili Badan Pengurusan Bersama (JMB) Halaman Meru Aman.
"Dengan itu, pihak syarikat bersetuju untuk memindahkan 13 unit bagi kelulusan pertama selewat-lewatnya pada 3 Mei 2024 dan bakinya secara berperingkat.
"Syarikat berkenaan akan mempertimbangkan pemindahan lebih awal sekiranya perlu. Selepas tarikh itu, isu melibatkan keseluruhan 26 unit kediaman di sini selesai," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Menurut Sivanesan, syarikat berkenaan turut bersetuju memberi kerjasama berhubung masalah berkaitan kacau ganggu dan kebersihan melibatkan pekerja asing.
"Selain itu, 13 pekerja asing yang baharu akan di tempatkan bagi mengisi kekosongan di enam unit kediaman sedia ada dan tiada kemasukan pekerja baharu dibenarkan pada masa akan datang.
"Dalam tempoh tujuh bulan ini, saya percaya tidak ada masalah timbul. Kita mencadangkan pihak syarikat melantik seorang wakil dalam kalangan pekerja asing untuk berurusan dengan JMB jika ada isu berbangkit," katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 seperti yang didakwa sebelum ini.
"Setakat ini tiada apa-apa pelanggaran tetapi demi menjaga ketenteraman di kawasan ini, mereka bersetuju untuk menarik keluar pekerja-pekerja di sini.
"Jadi ini satu contoh majikan yang memahami keresahan warga tempatan dan diharapkan perkara ini tidak berlaku di tempat lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi JMB Halaman Meru Aman, Mohd Fazli Othman berkata, persetujuan yang dicapai membentuk situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.
"Keputusan syarikat membawa keluar pekerja asing secara berperingkat memberi kelegaan kepada penduduk.
"Kita pun mengharapkan agar pemilik rumah tidak lagi membenarkan syarikat lain membawa masuk pekerja asing lagi demi kesejahteraan penduduk," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kehadiran warga asing menduduki pangsapuri itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Penduduk mendakwa, kehadiran warga asing yang bekerja di sebuah kilang di Jelapang sejak lebih tiga tahun lalu itu, menyebabkan kawasan berkenaan kotor selain bersikap biadap apabila minum minuman keras secara terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!