Sindrom terlupa anak jadi mimpi ngeri ibu bapa
Insiden ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta untuk tempoh lama kerap kali dilaporkan berlaku dan lebih memilukan ada antara mereka yang menemui ajal dek kerana sindrom terlupa tersebut.
Terbaharu, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan lebih 10 jam di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kenderaan sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Siasatan awal kes yang berlaku semalam itu mendapati ibu mangsa meletakkan anaknya di bahagian penumpang belakang sebelah kiri untuk dihantar ke taska sekitar jam 7.20 pagi, namun terus memandu tempat kerja.
Difahamkan, dia yang bertugas sebagai doktor di hospital tersebut tidak menyedari kejadian itu kerana beranggapan mangsa telah dihantar ke taska sehinggalah suaminya memaklumkan perkara sebaliknya berlaku.
Selain kes yang berlaku semalam itu, rakyat Malaysia telah banyak dikejutkan dengan kejadian serupa sebelum ini, namun ia tetap berulang dan tidak mustahil ia boleh berlaku lagi pada masa akan datang.
Kejadian malang yang berlaku tanpa sengaja itu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes kematian kanak-kanak sehingga mengakibatkan trauma dan mimpi ngeri dalam kalangan ibu bapa.
Justeru, terdapat penjelasan ilmiah daripada sudut perubatan iaitu terma Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndrome (FBS) yang digunakan untuk menggambarkan keadaan ibu bapa secara tidak sengaja meninggalkan bayi atau anak kecil di dalam kereta berkunci.
Ia akibat daripada berlakunya perubahan atau gangguan terhadap rutin harian ibu bapa kerana terlalu fokus kepada sesuatu perkara dalam satu masa sahaja sehingga terlupa dengan urusan lain.
Sindrom tersebut boleh mempengaruhi ibu bapa daripada pelbagai latar belakang, bangsa, jantina, pendapatan, tahap pendidikan, dan keperibadian atau karakter mereka.
Oleh itu, ibu bapa boleh mengatasinya dengan mengamalkan beberapa tips sebagai langkah pencegahan terhadap insiden menyayat hati tersebut.
Berikut merupakan tips mengelakkan daripada terkena Sindrom Terlupa Bayi seperti:
- Menyimpan mainan lembut atau plushie, makanan atau beg lampin di dalam kereta sebagai isyarat visual supaya ibu bapa peka mengenai kehadiran kanak-kanak di dalam kenderaan.
- Buka pintu belakang kereta setiap kali parkir walaupun tiada sesiapa di belakang.
- Sebelum meninggalkan kenderaan, disarankan untuk memeriksa terlebih dahulu tempat duduk kereta di bahagian hadapan dan belakang.
- Pengasuh perlu sentiasa mengingatkan dan hubungi ibu bapa dengan segera sekiranya kanak-kanak belum tiba di pusat jagaan atau turun daripada kenderaan.
- Kurangkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu untuk mengelakkan gangguan dan kekal fokus dengan tujuan.
- Tampal pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu yang mana ia boleh dilihat apabila hendak keluar dari kereta.
Apapun, diharapkan ibu bapa sentiasa cakna dan tidak meninggalkan anak bersendirian dalam kenderaan walaupun hanya seminit.
Ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan anak yang berusia di bawah lingkungan enam tahun sentiasa dalam pengawasan teliti.
Semoga kes yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran buat semua rakyat Malaysia dan sekiranya berlaku lagi insiden kanak-kanak terkunci di dalam kenderaan, segera hubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan dan perhatikan keadaan kesihatan anak sebelum, semasa serta selepas kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!