Di mana kamu, ibu?

Rhida Fhadilla meminta orang ramai membantu mengesan ibu kandung Adam Afiq.
Rhida Fhadilla meminta orang ramai membantu mengesan ibu kandung Adam Afiq.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu angkat meminta orang ramai mengesan seorang wanita yang meninggalkan anak lelakinya yang juga seorang autisme sebelum menghilangkan diri sejak tujuh tahun lalu.

Ibu angkat, Rhida Fhadilla Kamal Aripin, 35, berkata kanak-kanak istimewa itu, Adam Afiq Abdul Hakim kini sudah berusia tujuh tahun dan berada dalam jagaannya selepas diserahkan sendiri ibu kandungnya pada 2016.

Menurutnya, ibu kandung Adam, Norsaharah Zainal Abidin yang berusia 27 tahun ketika itu menyerahkan anaknya yang dilahirkan pada 23 Julai di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan alasan tidak mampu membesarkannya.

"Masa itu Adam diserahkan kepada saya ketika berada di rumah sewa Norsaharah di Pangsapuri Angsana, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, ketika sedang tempoh berpantang.

"Dia menyerahkan bayinya (Adam) bersama sijil kelahiran dan buku rekod pemeriksaan kehamilan," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh beberapa bulan selepas kejadian, Norsaharah tidak lagi menyewa di rumah berkenaan dan nombor telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi.

Rhida Fhadilla menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai penyerahan Adam Afiq pada 2016.
Rhida Fhadilla menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai penyerahan Adam Afiq pada 2016.

"Apa yang saya ingat, Norsaharah berkulit sawo matang, berhidung mancung, berambut panjang, mempunyai ketinggian kira-kira 158 sentimeter dan berketrampilan menarik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rhida berkata, jika mana-mana individu mengenali Norsaharah diminta tampil menghubunginya segera.

"Pencarian ibu kandung ini bertujuan membantu melengkapkan dokumen pengambilan anak angkat sepertimana diminta pihak berkaitan.

"Saya sayangkan Adam dan mahu penjagaan yang sah selain memastikan keperluan asas termasuk pendidikan kepadanya diberikan hak sewajarnya," katanya.

Jelasnya, proses berkenaan juga bagi membolehkan Adam didaftarkan ke mana-mana institusi pendidikan selain merancang masa depan anak istimewa berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 019-6922913," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!